FIST UMPSA

— Class Schedules

Program Mobiliti Antarabangsa SCITEXS to Indonesia 

Program Mobiliti Antarabangsa SCITEXS to Indonesia 

Kuantan, 29 November 2025 – Seramai 11 pelajar daripada Tahun 1 hingga Tahun 4 pelbagai program di Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FIST), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), bersama dua orang pensyarah pengiring iaitu Ts. Dr. Nurul ’Azyyati Sabri dan Dr. Shoriya Aruni Abd Manaf, telah menyertai Program Mobiliti Antarabangsa SCITEXS ke Universitas ‘Aisyiyah (UNISA) Yogyakarta, Indonesia pada 23 hingga 28 November 2025. Program anjuran Persatuan Mahasiswa FSTI (SCITEXS) ini bertujuan memperkasakan pendedahan antarabangsa mahasiswa melalui aktiviti akademik, kebudayaan, industri, khidmat komuniti dan kolaborasi kepimpinan pelajar.

Sepanjang program, delegasi UMPSA telah mengikuti pelbagai pengisian ilmiah dan aktiviti pembangunan profesional. Antara kemuncaknya ialah Seminar Antarabangsa bertema “Nature to Bio-Based Industry Solutions for Sustainability”, disampaikan oleh Ts. Dr. Nurul ’Azyyati Sabri, Dr. Shoriya Aruni Abd Manaf serta dua wakil UNISA, Dr. Dinar Mindrati Fardhani dan Puan Annisa Khumaira. Seminar ini mengupas peranan sumber semula jadi, inovasi bio-berasaskan dan penyelesaian lestari dalam memacu pembangunan masa depan. Delegasi turut mengikuti kelas ISO 9001, aktiviti khidmat komuniti bersama kanak-kanak di Tadika TK ABA Kauman, serta sesi penandaarasan antara SCITEXS UMPSA dan Badan Eksekutif Mahasiswa (BEM) UNISA bagi memperkukuh pemahaman mengenai struktur organisasi dan kepimpinan pelajar.

Selain itu, pelajar turut terlibat dalam lawatan industri ke Mazaraat Cheese, sebuah kilang pembuatan keju tempatan yang membolehkan mereka memahami proses penghasilan keju, kawalan kualiti dan operasi industri makanan. Program ini turut merangkumi lawatan akademik dan budaya ke beberapa lokasi ikonik di Yogyakarta termasuk Gunung Merapi, kawasan warisan serta muzium. Di samping itu, malam persembahan UMPSA–UNISA telah berlangsung meriah dengan persembahan tarian, muzik dan kreativiti yang memperkukuh jalinan persahabatan antara kedua-dua universiti.

Secara keseluruhan, Program Mobiliti Antarabangsa ini memberikan pengalaman bermakna kepada mahasiswa dari aspek pembelajaran global, pembangunan kepimpinan, pengayaan budaya serta perluasan jaringan akademik dan industri. SCITEXS UMPSA komited untuk terus memperluas peluang mobiliti antarabangsa bagi melahirkan graduan yang holistik, berdaya saing dan berpandangan global.

Image
— Contact
Faculty of Industrial Sciences and Technology, UMPSA
26300 Gambang
Pahang