Bengkel "Basic Lab Skill" Tingkatkan Kemahiran Pelajar Tahun Akhir FSTI
14 November 2025 | Bengkel FSTI
𝐁𝐞𝐧𝐠𝐤𝐞𝐥 “𝐁𝐚𝐬𝐢𝐜 𝐋𝐚𝐛 𝐒𝐤𝐢𝐥𝐥” 𝐓𝐢𝐧𝐠𝐤𝐚𝐭 𝐊𝐞𝐦𝐚𝐡𝐢𝐫𝐚𝐧 𝐏𝐞𝐥𝐚𝐣𝐚𝐫 𝐓𝐚𝐡𝐮𝐧 𝐀𝐤𝐡𝐢𝐫, 𝐅𝐚𝐤𝐮𝐥𝐭𝐢 𝐒𝐚𝐢𝐧𝐬 𝐝𝐚𝐧 𝐓𝐞𝐤𝐧𝐨𝐥𝐨𝐠𝐢 𝐈𝐧𝐝𝐮𝐬𝐭𝐫𝐢
14 November 2025 – Bengkel “Basic Lab Skill” telah berjaya dianjurkan di makmal Fakulti Sains dan Teknologi Industri dengan penyertaan seramai 16 orang pelajar tahun akhir program Teknologi Bahan serta dibimbing oleh 4 orang pengajar berpengalaman. Bengkel ini diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mohamad Ashry Jusoh (Pensyarah/Penyelaras Projek Tahun Akhir), bersama barisan tenaga pengajar iaitu En. Khairul Affendi (Penolong Pegawai Sains), Cik Atiqah Abd Rahim (Pegawai Sains), dan Cik Nurfatin Nabilah Abd Hafidz (Pelajar Pascasiswazah).
Penganjuran bengkel ini bertujuan memberikan pendedahan awal dan latihan hands-on kepada pelajar mengenai penggunaan peralatan asas makmal yang penting untuk melaksanakan projek tahun akhir mereka. Selain menjadi persediaan untuk melaksanakan projek penyelidikan di makmal, bengkel ini turut berperanan sebagai latihan asas bagi membantu mempersiapkan pelajar sebelum menjalani latihan industri, agar mereka lebih yakin dan berkemampuan ketika berada di persekitaran kerja sebenar.
Sepanjang sesi, pelajar turut didedahkan kepada pelbagai peralatan pengujian bahan termasuk ujian tegangan, ujian mampatan dan ujian kekerasan.
Selain itu, pelajar juga berpeluang mengendalikan peralatan pemprosesan bahan seperti teknik ball mill dan furnace bagi memahami proses penyediaan sampel dan rawatan haba. Program ini bukan sahaja meningkatkan kefahaman teknikal pelajar, malah mengukuhkan kemahiran amali mereka dalam penyelidikan dan analisis bahan.
Secara keseluruhan, bengkel ini diharapkan dapat membantu pelajar melaksanakan projek tahun akhir dengan lebih yakin dan bersedia menjalani latihan industri nanti.
