FIST UMPSA

View by Category

50 Pelajar SMK Lepar Terokai Makmal Penyelidikan FSTI UMPSA

19 November 2026 | UMPSA Paya Besar

Seramai 50 pelajar Tingkatan 1 hingga 3 bersama empat guru pengiring dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lepar menyertai program Sesi 2: Meneroka Makmal Penyelidikan UMPSA di Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Program ini merupakan kesinambungan kepada Program Inovator Muda STEM: Sinergi Bio, Kimia & Fizik di bawah inisiatif Program STI 100³ anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Program dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada wakil sekolah, Cikgu Suzana binti Uyob, serta wakil FSTI yang turut berkongsi maklumat mengenai laluan pengajian dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di UMPSA.

Sepanjang lawatan, pelajar mengikuti tiga pusingan aktiviti secara bergilir di beberapa makmal penyelidikan FSTI. Di Makmal Kimia Analisis dan Makmal Unit Operasi, peserta didedahkan kepada peralatan analisis saintifik serta pengujian sifat mekanikal dan optik bahan. Sementara itu, Makmal Kimia Inorganik dan Makmal Fizik mengetengahkan aplikasi magnetik, teknologi superkonduktor serta konsep matematik dalam penyiasatan saintifik.

Di Makmal Mikrobiologi, pelajar berpeluang menjalankan pemerhatian menggunakan mikroskop, mengenali teknik asas pengkulturan mikroorganisma dan mempelajari struktur molekul DNA. Lawatan ke Makmal Bioproses pula memperkenalkan sistem bioreaktor serta aplikasinya dalam bidang bioteknologi industri.

Menurut Pengarah Program, Ts. Dr. Nurul 'Azyyati binti Sabri, lawatan yang melibatkan 23 staf akademik, termasuk Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), serta staf teknikal FSTI ini bertujuan membantu pelajar menghubungkan pengetahuan sains yang dipelajari di sekolah dengan aplikasi sebenar di makmal universiti.

Program ini dijadualkan berakhir dengan Pertandingan Reka Cipta STEM pada 26 November 2026 sebagai platform untuk pelajar mengaplikasikan pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh sepanjang siri program.

Image
— Contact
Faculty of Industrial Sciences and Technology, UMPSA
26300 Gambang
Pahang