FIST UMPSA

View by Category

FSTI UMPSA Perkasa Promosi Akademik di Karnival Jom Masuk U 2026 Zon Tengah II

26 April 2026 | Tanjung Malim, Perak

Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh peranannya dalam mempromosikan program akademik dan laluan kerjaya melalui penyertaan aktif dalam Karnival Jom Masuk U (JMU) 2026 Zon Tengah II yang berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris pada 25 hingga 26 April 2026.

Penyertaan ini membuka peluang kepada pelajar sekolah menengah, lepasan SPM, matrikulasi, STPM/STAM serta diploma (termasuk DLM, DVM dan DKM) untuk memperoleh pendedahan yang lebih menyeluruh mengenai program yang ditawarkan oleh UMPSA dan FIST. Penerangan turut merangkumi struktur pengajian, kelebihan kompetitif program serta prospek kerjaya, yang disampaikan kepada para pengunjung secara interaktif, jelas dan berfokus.

Sepanjang penganjuran karnival, reruai UMPSA menerima sambutan yang sangat menggalakkan dengan kehadiran pengunjung yang berterusan. Penyertaan ini turut disokong oleh Pusat Pemasaran dan Kemasukan UMPSA yang diketuai oleh Encik Zainal bin Bahari bersama tiga orang staf, selain penglibatan Pusat Sains Matematik serta Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, menjadikan penyampaian maklumat lebih komprehensif dan menyeluruh.

Majlis Perasmian Penutupan Karnival Jom Masuk Universiti 2026 telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry bin Abd Kadir di Dewan Tuanku Canselor, UPSI. Penganjuran karnival ini menghimpunkan pelbagai institusi pengajian tinggi awam dan swasta dalam usaha memperluas akses pendidikan tinggi kepada masyarakat.
Reruai UMPSA turut menerima kunjungan Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Binti Alias dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) UMPSA, Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman yang berkesempatan menyantuni pengunjung dan memberikan sokongan moral kepada staf yang terlibat.

Pelbagai aktiviti sampingan turut memeriahkan karnival ini, antaranya pertandingan kuiz, cabutan bertuah, persembahan busking, demonstrasi masakan, flashmob kesenian, demonstrasi lukisan serta konti radio bergerak yang berjaya menarik minat pelbagai lapisan pengunjung.
Penyertaan proaktif FSTI dalam program seumpama ini mencerminkan komitmen berterusan fakulti dalam memperkenalkan bidang sains dan teknologi industri kepada generasi muda, sekali gus menyokong aspirasi UMPSA untuk melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing dan relevan dengan keperluan industri.

Image
— Contact
Faculty of Industrial Sciences and Technology, UMPSA
26300 Gambang
Pahang