PROGRAM CSR STEM DAN PROMOSI AKADEMIK FSTI KE SMK PERAMU JAYA, PEKAN PAHANG
PROGRAM CSR STEM DAN PROMOSI AKADEMIK FAKULTI SAINS DAN TEKNOLOGI INDUSTRI KE SMK PERAMU JAYA, PEKAN PAHANG
31 Julai 2025 | Pekan, Pahang – Fakulti Sains dan Teknologi Industri, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah mengadakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) berteraskan STEM dan promosi program akademik ke SMK Peramu Jaya, sempena Hari Jelajah Sains Digital Exploria dan UMPSA @PeJaSS 2025.
Seramai 12 orang wakil fakulti telah menyertai program ini yang melibatkan 320 orang pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 4. Program CSR STEM ini telah menampilkan lima aktiviti utama yang interaktif dan berimpak tinggi, iaitu: Bakteria: Baik ke Jahat?; Saponifikasi: Mudahnya Cipta Sabun; Hidrodestilasi dan Pengekstrakan Soxhlet; Teknik Mikroskopi: Pencirian Permukaan Bahan; serta Hebatnya, Superkonduktor!.
Setiap aktiviti dirancang untuk merangsang minat pelajar terhadap sains dan teknologi melalui pendekatan hands-on. Semua pelajar sangat teruja dan aktif mengambil bahagian dalam setiap aktiviti. Program ini bukan sahaja memperkenalkan ilmu baharu secara praktikal kepada pelajar, malah turut membuka ruang kepada mereka untuk mengenali lebih dekat program-program akademik yang ditawarkan di Fakulti Sains dan Teknologi Industri.
Pihak sekolah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak fakulti atas inisiatif yang sangat bermanfaat ini. Guru-guru turut menyifatkan program seumpama ini sebagai pendedahan awal yang sangat berguna bagi membina asas minat pelajar dalam bidang STEM dan kerjaya masa depan.
Program ini diharap dapat memperkukuhkan lagi jaringan kolaborasi antara institusi pengajian tinggi dan sekolah, dalam usaha melahirkan generasi muda yang celik sains, kreatif dan inovatif seiring dengan aspirasi negara.