Previous Next

PROGRAM PROFESOR TURUN PADANG UMPSA 2024 “Empowering Sugar Awareness: Sweet Kids, Healthy Lives”

Kuantan, 15 Ogos 2024 - Program "Empowering Sugar Awareness: Sweet Kids, Healthy Lives" merupakan inisiatif Program Profesor Turun Padang Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) 2024 yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang pengambilan gula dalam kalangan murid sekolah rendah. Program ini telah diadakan pada 15 Ogos 2024 di Sekolah Kebangsaan Pelindung, Kuantan, bermula dari jam 7.45 pagi hingga 1 petang, dan melibatkan penyertaan 175 murid Tahun 4. Program ini dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dan dipimpin oleh Dr. Nor Adila binti Mhd Omar selaku Ketua Projek, bersama ahli pasukan Prof. Madya Dr. Mohamad Ashry bin Jusoh, Dr. Wan Norfazilah binti Wan Ismail, Dr. Khairiah binti Mohd Mokhtar, dan Dr. Nurul Huda binti Abu Bakar. Program ini turut dibantu oleh pelajar pascasiswazah, Cik Nurul Hidayah binti Abu Bakar, serta tujuh orang guru dari Sekolah Kebangsaan Pelindung yang diketuai oleh Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Puan Zaharila binti A. Rahman, sebagai fasilitator program.

Acara dimulakan dengan ucapan aluan daripada guru besar sekolah, En. Mohd Azhar bin Yahya (A.M.P), yang mengalu-alukan kehadiran para peserta dan menekankan kepentingan program ini dalam mendidik murid tentang kesihatan. Seterusnya, taklimat bertajuk "Empowering Sugar Awareness: Sweet Kids, Healthy Lives" telah disampaikan oleh Dr. Nor Adila, bertujuan untuk memberi pemahaman mendalam kepada murid mengenai kesan buruk pengambilan gula berlebihan dan memperkenalkan cara-cara untuk mengurangkan pengambilan gula dalam diet harian mereka.

Aktiviti diteruskan dengan acara Sugar Hunt, di mana murid-murid  melalui beberapa checkpoint iaitu Sweet Crossword Challenge, Sugar Smart Quiz, Zero Sugar Dash, Sugar Experiment, Sweet Pyramid  dan Sugar Detective. Pelajar perlu  menyelesaikan pelbagai misi berkaitan dengan pemilihan makanan yang rendah gula, kesan gula berlebihan serta cara menjalani gaya hidup sihat. Aktiviti Sugar Hunt ini diakhiri dengan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang sebagai galakan kepada murid-murid untuk mengaplikasikan pengetahuan yang diperoleh dalam kehidupan seharian mereka.

Sebagai kesinambungan dan penutup daripada program ini, murid diberi 'Kalender Gula-gula' di mana mereka perlu mengisi pengambilan makanan selama sebulan. Inisiatif ini bertujuan untuk membantu murid-murid memantau dan mengawal pengambilan gula harian mereka secara lebih berkesan. Keseluruhan program ini telah dilaksanakan dengan jayanya melalui gandingan bersama fasilitator dari UMPSA dan Sekolah Kebangsaan Pelindung. Program ini mampu memberi manfaat yang besar kepada murid-murid dan meningkatkan kesedaran tentang pentingnya pengurusan pemakanan yang sihat sejak usia muda. Respon positif dan keterlibatan aktif murid-murid dan guru-guru menunjukkan bahawa program ini telah mencapai objektifnya, sekaligus menanamkan kesedaran yang mendalam tentang pengurusan pemakanan sihat sejak usia muda. Diharapkan inisiatif ini akan menjadi langkah awal kepada gaya hidup sihat yang berterusan dalam kalangan murid-murid.


Print   Email