SULAM 2023: Pelajar UMP berkongsi teknologi penjujukan di MRSM Kuantan
Seramai 21 orang pelajar BSB3703 Microbial Genomics telah turun menyantuni pelajar tingkatan 4 MRSM Kuantan pada baru-baru ini bagi menjayakan projek SULAM 2023 yang diselia oleh Ts Dr Hajar Fauzan Bin Ahmad dan para pendidik program Bioteknologi Industri, Fakulti Sains dan Teknologi Industri, Universiti Malaysia Pahang. Program SULAM ini merupakan salah satu kaedah pengajaran dan pembelajaran yang menggabungkan objektif pembelajaran kursus dengan khidmat komuniti yang melibatkan pelajar berinteraksi dengan komuniti bagi menyelesaikan permasalahan setempat dengan menggunakan pengetahuan dan kemahiran yang mereka pelajari di bilik kuliah, selari dengan aspirasi Kementerian Pengajian Tinggi, Malaysia.
Program SULAM ‘Who’s That Pokemon? We Catch Them All’ ini bertujuan untuk mendidik pelajar sekolah tentang kehadiran mikrob dalam persekitaran kita. Para pelajar Bioteknologi Industri telah berkongsi ilmu dan pengalaman di dalam bilik kelas berkaitan kaedah penjujukan dalam mengenalpasti mikrob dipersekitaran. Melalui teknologi penjujukan, kita akan lebih mengetahui fungsi sesuatu mikrob yang sangat penting dalam aplikasi bioteknologi seperti penghasilan makanan yang lebih sedap dan berkhasiat seperti roti dan minuman susu kultur, membantu mengawal pencemaran dengan mengubah sisa organic kepada plastik yang lebih mesra alam sekitar, dan lain-lain lagi.
Diharapkan projek SULAM membuka peluang kepada mahasiswa membantu masyarakat dalam meneroka dan mengaplikasi ilmu dalam konteks menyelesaikan masalah dunia sebenar dihadapi komuniti. Situasi pembelajaran ini memerlukan mahasiswa lebih berdikari dengan mengaplikasikan ilmu dipelajari dalam kursus diambil, sehingga mampu membangunkan diri secara holistic, selain mengeratkan jaringan Kerjasama di antara UMP dan sekolah.
Berita disediakan oleh Ts Dr Hajar Fauzan Bin Ahmad, Pensyarah Kanan FSTI.