FIST UMPSA

News & Events

BENGKEL TABLETOP EXERCISE PASUKAN TINDAKAN KECEMASAN BLOK A1

LAPORAN BENGKEL TABLETOP EXERCISE PASUKAN TINDAKAN KECEMASAN BLOK A1

GAMBANG, 18 Ogos 2025 - Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) Blok A1, Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah mengadakan Bengkel Tabletop Exercise (TTX) bertempat di WDK16, UMPSA Gambang. Latihan ini dilaksanakan sebagai langkah meningkatkan tahap kesiapsiagaan ahli pasukan dalam menghadapi situasi kecemasan di Blok A1. Ia turut menjadi platform untuk menguji keberkesanan pelan tindak balas kecemasan serta menilai kecekapan pasukan dalam membuat keputusan ketika berdepan dengan senario berisiko tinggi.

Objektif utama latihan ini adalah untuk meningkatkan kefahaman ahli pasukan terhadap peranan masing-masing, menguji keberkesanan prosedur tindak balas kecemasan, memperkukuh koordinasi dan komunikasi semasa insiden, serta mengenal pasti ruang penambahbaikan dalam pelan sedia ada. Latihan ini dijalankan secara perbincangan meja di mana ahli pasukan dibentangkan dengan satu senario kebakaran yang berpunca daripada litar pintas di perpustakaan. Fasilitator latihan ialah Ts. Dr. Azizan Ramli, yang mempunyai sijil kompetensi sebagai Crisis Management Certified Planner. Beliau telah mengemukakan maklumat tambahan atau ‘injections’ secara berperingkat bagi menguji tahap kesediaan pasukan dalam membuat keputusan pantas dan tepat.

Seramai 11 peserta terlibat dalam latihan ini, terdiri daripada ahli-ahli ERT Blok A1. Sepanjang perbincangan, didapati bahawa ahli pasukan memahami peranan masing-masing dengan baik namun masih terdapat kelemahan dari segi perkongsian maklumat antara satu sama lain. Secara keseluruhannya, TTX ini berjaya mencapai objektif yang ditetapkan. Ia bukan sahaja meningkatkan kesedaran dan kefahaman ahli pasukan terhadap prosedur kecemasan, malah turut membantu mengenal pasti kelemahan yang perlu diperbaiki. Pelaksanaan berterusan aktiviti seumpama ini diyakini dapat memastikan tahap kesiapsiagaan ERT Blok A1 berada pada tahap optimum dalam menghadapi sebarang kemungkinan insiden kecemasan.

Image
— Contact
Faculty of Industrial Sciences and Technology, UMPSA
26300 Gambang
Pahang