FSTI UMPSA Raih Dua Pengiktirafan dalam Anugerah ANALIS 2026
21 Oktober 2026 | Kuching, Sarawak
Alumni Program Bioteknologi Industri, Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Tay Xin Rou, berjaya meraih Hadiah Tesis Terbaik ANALIS 2026 menerusi penyelidikan bertajuk “Mesocosm Constructed Wetland of Canna indica for Wastewater Treatment” di bawah penyeliaan Ts. Dr. Nurul 'Azyyati Sabri.
Penyelidikan tersebut memfokuskan penggunaan tanah lembap buatan (constructed wetland) berasaskan tumbuhan Canna indica sebagai pendekatan berasaskan alam semula jadi untuk rawatan air sisa. Kajian ini menyumbang kepada penerokaan kaedah rawatan air sisa yang lebih mampan dan mesra alam.
Sebagai penerima anugerah, Tay Xin Rou menerima wang tunai RM200, sijil penghargaan dan trofi sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan penyelidikannya.
Majlis Penyampaian Hadiah Persatuan Sains Analis Malaysia (ANALIS) 2026 berlangsung bersempena The 38th International Conference of Analytical Sciences (SKAM38) Gala Night Dinner pada 21 Oktober 2026 di The Waterfront Hotel, Kuching, Sarawak.
Dalam majlis yang sama, Dr. Tay Joo Hui turut menerima pengiktirafan sebagai penerima Dana Aktiviti ANALIS 2026 Cycle 2 dalam bidang kimia analitikal. Pengiktirafan ini mencerminkan usaha berterusan dalam memperkukuh aktiviti penyelidikan, perkongsian ilmu dan pembangunan kepakaran dalam bidang sains analitikal.
Kedua-dua pencapaian ini mencerminkan kecemerlangan alumni dan ahli akademik FSTI dalam bidang penyelidikan serta diharapkan dapat menjadi inspirasi kepada warga fakulti untuk terus memperkasa penyelidikan, inovasi dan pembangunan ilmu pengetahuan.
