Warga FSTI Raih Pengiktirafan Kecemerlangan Perundingan dan Perkhidmatan Makmal
15 Mei 2026 | UMPSA Gambang
Warga Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus mengharumkan nama fakulti apabila menerima beberapa pengiktirafan dalam program Synergy Excellence Awards & High Tea 2026 anjuran UMPSA Holdings dengan kerjasama Jabatan Penyelidikan dan Inovasi UMPSA.
Majlis yang berlangsung di Dewan Aras 2, Kompleks UMPSA Holdings, Gambang itu diadakan bagi menghargai pencapaian pensyarah, fakulti dan pusat kecemerlangan (CoE) dalam bidang perundingan, penyelidikan serta kecemerlangan perkhidmatan.
Dalam majlis tersebut, Dekan FSTI, Profesor Madya Ts. Dr. Aizi Nor Mazila Ramli telah menerima Top Consultancy Revenue Achievement Award, manakala Profesor Dr. Saiful Nizam Tajuddin telah menerima Premier Consultancy Excellence Award dan Best Market-Ready Product Award sebagai penghargaan terhadap sumbangan cemerlang dalam bidang perundingan dan jaringan industri.
FSTI turut menerima Outstanding Lab Service Excellence Award sebagai pengiktirafan terhadap komitmen fakulti dalam memperkukuh kualiti, kecekapan dan kecemerlangan perkhidmatan makmal yang menyokong aktiviti akademik, penyelidikan dan perundingan.
Majlis ini turut meraikan pensyarah yang aktif dalam bidang konsultansi dan sumbangan mereka kepada jaringan industri dan penjanaan universiti. Pengiktirafan ini mencerminkan komitmen berterusan warga FSTI dalam memperkasa budaya kecemerlangan profesional, memperluas jaringan industri serta meningkatkan impak kepakaran universiti kepada masyarakat dan pihak berkepentingan.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua penerima anugerah atas kejayaan yang membanggakan ini!
