Lawatan Industri ke Biocon Sdn. Bhd. Dedahkan Pelajar kepada Dunia Biofarmaseutikal
15 Mei 2026 | Johor
Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah berjaya menganjurkan lawatan industri bagi kursus BSB3113 Gene Technology ke Biocon Sdn. Bhd., Johor. Lawatan yang penuh bermakna ini telah disertai oleh seramai 43 orang pelajar bersama tiga orang pensyarah pengiring.
Objektif utama lawatan ini adalah untuk memberikan pendedahan secara langsung kepada para pelajar mengenai aplikasi teknologi gen dalam industri biofarmaseutikal serta penghasilan produk biosimilar di peringkat komersial.
Sepanjang lawatan, para pelajar telah memperoleh pelbagai input yang bermanfaat melalui sesi taklimat dan pendedahan berkaitan proses biopemprosesan serta pengurusan industri bioteknologi di peringkat komersial. Peserta turut berpeluang meningkatkan kefahaman mereka melalui pemerhatian secara langsung terhadap proses huluan (upstream) dan hiliran (downstream) dalam biopemprosesan.
Selain itu, para pelajar juga didedahkan kepada aspek keselamatan biologi, etika dan peraturan industri bioteknologi yang berkait rapat dengan proses manipulasi genetik. Pendedahan ini membantu mereka memahami kepentingan pematuhan terhadap piawaian industri dalam memastikan kualiti dan keselamatan produk biofarmaseutikal.
Delegasi FSTI turut berpeluang melihat sendiri operasi di fasiliti canggih milik Biocon yang diiktiraf sebagai hab pembuatan insulin bersepadu serta pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) terbesar di rantau Asia. Penglibatan aktif para pelajar sepanjang program membuktikan minat yang tinggi terhadap bidang bioteknologi dan industri bioperubatan.
Program ini bukan sahaja memberikan ilmu pengetahuan dan pengalaman baharu mengenai suasana sebenar industri, malah turut memupuk kemahiran insaniah seperti komunikasi, kerja berpasukan dan disiplin diri.
Diharapkan program lawatan industri seperti ini dapat terus memberi nilai tambah kepada pelajar UMPSA dari sudut kecemerlangan akademik, di samping mempersiapkan mereka untuk menceburi kerjaya dalam bidang bioteknologi dan biofarmaseutikal pada masa hadapan.
