PROGRAM CSR STEM DAN PROMOSI AKADEMIK FAKULTI SAINS DAN TEKNOLOGI INDUSTRI KE SMK ABU BAKAR, KUANTAN, PAHANG
PROGRAM CSR STEM DAN PROMOSI AKADEMIK FAKULTI SAINS DAN TEKNOLOGI INDUSTRI KE SMK ABU BAKAR, KUANTAN, PAHANG
13 Ogos 2025 | Kuantan, Pahang – Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah mengadakan program tanggungjawab sosial korporat berteraskan Science, Technology, Engineering, and Mathematics (CSR STEM) dan promosi program akademik ke SMK Abu Bakar (SABS), sempena Karnival Mega Variasi dan Hari Koperasi yang dianjurkan oleh sekolah berkenaan.
Seramai 13 orang wakil fakulti telah menyertai program ini yang melibatkan pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6. Program CSR STEM ini telah menampilkan empat aktiviti yang mewakili empat program yang ditawarkan di FSTI iaitu Sarjana Muda Sains Gunaan Teknologi Bahan dengan Kepujian (BSP), Sarjana Muda Sains Gunaan Kimia Industri dengan Kepujian (BSK), Sarjana Muda Sains Gunaan Bioteknologi Industri dengan Kepujian (BSB), dan Sarjana Muda Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dengan Kepujian (BPS).
Setiap aktiviti dirancang dengan pendekatan interaktif dan amali bagi merangsang minat pelajar terhadap bidang STEM. Pelajar berpeluang mempelajari konsep-konsep sains dan teknologi melalui demonstrasi, eksperimen ringkas, serta perbincangan santai bersama fasilitator. Sambutan yang diberikan amat memberangsangkan, dengan pelajar menunjukkan minat yang tinggi dan penyertaan aktif sepanjang program.
Program ini bukan sahaja menjadi medium pendedahan kepada pengetahuan baharu secara praktikal, malah berfungsi sebagai platform memperkenalkan peluang pengajian dan laluan kerjaya dalam bidang yang ditawarkan oleh FSTI. Pihak sekolah merakamkan penghargaan dan terima kasih atas inisiatif murni ini, manakala para guru menyifatkannya sebagai pendedahan awal yang bermanfaat untuk membina asas minat pelajar terhadap STEM dan merancang masa depan mereka.
Melalui pelaksanaan program CSR STEM ini, FSTI berhasrat untuk menyemai minat terhadap bidang sains dan teknologi dalam kalangan pelajar sekolah, di samping meningkatkan kesedaran tentang kepentingan STEM dalam kehidupan seharian dan pembangunan negara. Program ini juga bertujuan memberi pendedahan awal mengenai aplikasi sains secara praktikal, sekali gus menggalakkan pelajar meneroka potensi diri dan mempertimbangkan peluang melanjutkan pengajian dalam bidang-bidang berkaitan di masa hadapan.
#umpsasharing #umpsaMalaysia #fistumpsa #jommasukfistumpsa