LAWATAN INDUSTRI KE KUANTAN PORT CONSORTIUM SDN BHD, KUANTAN: PENDEDAHAN PRAKTIKAL DALAM KESELAMATAN MARIN DI PELABUHAN..
LAWATAN INDUSTRI KE KUANTAN PORT CONSORTIUM SDN BHD, KUANTAN: PENDEDAHAN PRAKTIKAL DALAM KESELAMATAN MARIN DI PELABUHAN..
15 Januari 2025 - Seramai 35 orang pelajar program Ijazah Sarjana Muda Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Fakulti Sains Teknologi dan Industri, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), telah menyertai Program Hari Keselamatan, Kesihatan Pekerjaan dan Alam Sekitar di Kuantan Port Consortium Sdn Bhd, Kuantan. Lawatan ini, disertai bersama tiga pensyarah pengiring, Dr. Norwahida Yaakub, Pn Nurfazhilah Abdul Razak dan Dr Mohd Shahril Abu Hanifah. Tujuan utama program ini adalah untuk memberi pendedahan langsung kepada pelajar tentang elemen keselamatan dan operasi dalam pelabuhan, sambil menekankan kepentingan keselamatan pelabuhan sebagai tulang belakang kepada keberkesanan dan kelangsungan industri ini. Program ini turut dijayakan dengan kehadiran Pengurus HSE Pelabuhan Kuantan Encik Hasnul Wafa Bin Ma’arup, HSE Executive, Nor Asilah Binti Azmi dan Senior HSE Coordinator Health Officer, Mohamad Riza Bin Abdul Hamid.
Sepanjang lawatan, pelajar diterangkan tentang peraturan keselamatan pelabuhan, aliran kerja logistik di pelabuhan dan kepentingan pematuhan kepada prosedur keselamatan. Mereka dibawa menaiki bas untuk melakukan lawatan sekitar kawasan pelabuhan, termasuk Port 1 dan Port 2. Lawatan ini memberikan gambaran menyeluruh mengenai operasi pemunggahan kargo, penyimpanan, dan pemindahan barangan. Pelajar dapat melihat pelbagai jenis kapal yang berlabuh serta kemudahan seperti kren, gudang penyimpanan, dan jeti. Mereka dapat melihat secara langsung sebuah kapal sedang masuk ke pelabuhan dengan operasi pilot dan tug boat sudah bersedia menunggu. Staf Kuantan Port turut berkongsi bagaimana mereka mematuhi piawaian keselamatan marin, termasuk pengurusan keadaan kecemasan seperti safety pasport, dan ancaman keselamatan lain. Pelajar juga didedahkan kepada penggunaan teknologi yang digunakan di Port 2. Ada beberapa program lain seperti pameran BOMBA bergerak, pemeriksaan kesihatan dan taklimat daripada jemputan luar.
Lawatan ini memberi kefahaman kepada pelajar bahawa keselamatan di pelabuhan bukan hanya berkaitan dengan operasi teknikal, tetapi juga melibatkan pengurusan risiko secara menyeluruh. Elemen-elemen ini merangkumi latihan pekerja, penerapan budaya keselamatan, serta kerjasama antara pihak pengurusan pelabuhan, pengendali logistik, dan pihak berkuasa berkaitan. Pendedahan ini bukan sahaja membantu pelajar mengaitkan teori dengan aplikasi praktikal, malah menanamkan kesedaran tentang tanggungjawab mereka sebagai bakal profesional keselamatan dan kesihatan pekerjaan untuk memastikan keselamatan menjadi keutamaan dalam setiap sektor industri.
#umpsasharinh
#umpsamalsyai
#fistumpsa
#jommasukfistumpsa
#fistumpsagemilang
#umpsa