Karnival Projek Tahun Akhir FSTI UMPSA Rai Inovasi dan Kecemerlangan Pelajar
16 Jun 2026 | UMPSA Gambang
Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menganjurkan Karnival Projek Tahun Akhir (FYP 2) bertempat di Dewan Tun Teja, UMPSA Kampus Gambang. Program yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 1.00 petang ini merupakan anjuran bersama Jawatankuasa Projek Tahun Akhir FSTI dan Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains dan Teknologi Industri (SCITEXS).
Karnival yang julung kali diadakan ini menghimpunkan seramai 50 peserta daripada Program Bioteknologi Industri, Teknologi Bahan, Kimia Industri dan Keselamatan serta Kesihatan Pekerjaan untuk mempamerkan hasil penyelidikan dan projek inovasi mereka. Program ini turut menarik kehadiran lebih 100 orang pengunjung yang terdiri daripada warga universiti, pelajar, pensyarah dan pihak berkepentingan.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Dekan Fakulti Sains dan Teknologi Industri, Prof. Madya Ts. Dr. Aizi Nor Mazila binti Ramli. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menyifatkan penganjuran karnival ini sebagai satu pendekatan baharu dalam pelaksanaan penilaian Projek Tahun Akhir yang mencerminkan komitmen berterusan fakulti dalam memperkasa pengalaman pembelajaran pelajar serta menyediakan platform yang lebih dinamik untuk mempamerkan hasil inovasi dan pencapaian akademik mereka.
Menurut beliau, selain menilai aspek teknikal dan akademik, platform ini turut memberi peluang kepada pelajar memperkukuh kemahiran komunikasi, pemikiran kritis dan keyakinan diri melalui pembentangan hasil penyelidikan kepada pelbagai lapisan audiens. Pendekatan ini juga selaras dengan aspirasi fakulti dalam mengamalkan budaya Continuous Quality Improvement (CQI) menerusi pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) dan pembelajaran berpusatkan pelajar (student-centered learning).
Beliau turut menegaskan bahawa fakulti komited melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah berdaya saing, berkeyakinan dan bersedia menghadapi dunia industri serta masyarakat global.
Bagi kategori Pembentang Terbaik, para pemenang mengikut program adalah seperti berikut:
Program Bioteknologi Industri (BSB)
- Chan Yushen (SB23086)
- Pensyarah Penyelia: Dr. Shariza binti Jamek
Program Teknologi Bahan (BSP)
- Hanim Fayani binti Mustofa Amin (SC23021)
- Pensyarah Penyelia: Prof. Madya ChM. Dr. Izan Izwan bin Misnom
Program Kimia Industri (BSK)
- Nur Fathin Eyanie Mohamad Kasli (SA23056)
- Pensyarah Penyelia: Prof. Dr. Saiful Nizam Tajuddin
Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (BPS)
- Ahmad Najmuddin Arif bin Shihabuddin Arip (PA23083)
- Pensyarah Penyelia: Ts. Dr. Ahmad Soyuti bin Haji Sabran
Majlis penyampaian anugerah dan penutupan Karnival Projek Tahun Akhir FSTI telah disempurnakan oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Ts. Dr. Muhammad Hafiz bin Mazwir. Beliau merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur, para penyelia dan semua pihak yang telah menjayakan program ini serta menyeru para pelajar untuk terus memupuk budaya penyelidikan dan inovasi.
Penganjuran Karnival Projek Tahun Akhir FSTI ini diharapkan dapat menjadi tradisi tahunan dan terus berkembang sebagai platform berimpak tinggi dalam memupuk budaya penyelidikan, inovasi dan kecemerlangan akademik, sekali gus melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pembangunan industri serta negara.
