Krisis Racun Sistemik: Dari Mekanisme Molekul ke Solusi Sensor Pintar (SPE)
Oleh: ChM. Dr. Wan Norfazilah Wan Ismail
Pensyarah Kanan Program Kimia Industri, Fakulti Sains dan Teknologi Industri, UMPSA
Pendedahan mengenai penggunaan racun haram dalam sektor pertanian negara baru-baru ini bukan sekadar isu pelanggaran undang-undang, malah ia merupakan satu ancaman toksikologi yang serius kepada kesihatan rakyat Malaysia. Sebagai penyelidik dalam bidang keselamatan makanan, ancaman utama dikesan berpunca daripada sifat racun yang hidrofilik atau sistemik, di mana sisa bahan kimia ini tidak lagi berada di permukaan yang boleh dicuci, tetapi telah menjadi sebahagian daripada struktur dalaman sayur tersebut.
Isu "sebati" ini telah saya ulas secara ringkas dalam artikel bertajuk "Racun boleh sebati dalam sayur" yang diterbitkan oleh akhbar Kosmo! baru-baru ini. Dalam perkongsian tersebut, saya menjelaskan bagaimana molekul racun meresap melalui stomata daun atau diserap oleh akar, kemudian bergerak melalui tisu vaskular (xilem dan floem) ke seluruh bahagian tanaman. Kesannya, kehadiran racun ini boleh mengganggu fungsi enzim saraf manusia serta berisiko merosakkan DNA melalui proses peroksidasi lipid.
Baca ulasan lanjut mengenai mekanisme "sebati" ini di pautan rasmi Kosmo! Online: [Tekan Di Sini]

Selain ancaman kesihatan, isu ini turut menyerlahkan keperluan kepada kaedah pemantauan yang lebih pantas berbanding ujian makmal tradisional yang memakan masa lama. Sebagai alternatif yang lebih dinamik, pasukan penyelidik kami di Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI) kini sedang memfokuskan kepada pembangunan teknologi elektrod cetakan skrin atau screen-printed electrode (SPE). SPE merupakan pelantar sensor yang nipis dan ringan, menjadikannya sangat sesuai untuk kegunaan di lapangan oleh petani atau pihak penguatkuasa. Bagaimana ia berfungsi? Kami menggunakan SPE yang telah difungsikan dengan reseptor spesifik. Apabila molekul racun dalam ekstrak sayuran bersentuhan dengan permukaan sensor, berlaku tindak balas redoks yang menghasilkan isyarat. Kekuatan isyarat ini berkadar terus dengan kepekatan racun, membolehkan kita mengesan sisa toksik serendah bahagian per bilion (ppb) dalam masa yang singkat. Data daripada sensor SPE ini boleh dihantar secara terus ke alat bacaan atau telefon pintar.

Inovasi ini menjadi lebih ampuh melalui integrasi teknologi digital atau Internet of Things (IoT), di mana data daripada sensor SPE boleh dihantar secara terus ke telefon pintar bagi membina “Peta Ketoksikan Digital”. Dengan adanya data real-time, petani tidak lagi perlu menyembur racun mengikut jadual kalendar, sebaliknya hanya bertindak berdasarkan keperluan kawasan yang benar-benar memerlukan rawatan. Ini bukan sahaja mengoptimumkan penggunaan bahan kimia, malah memastikan sisa baki pada hasil tuaian sentiasa berada di bawah tahap bahaya. Kita tidak boleh lagi bergantung kepada kaedah lama dalam mendepani cabaran sisa kimia yang semakin kompleks. Integrasi antara sensor dan IoT adalah benteng pertahanan terbaik untuk memulihkan kepercayaan pengguna terhadap hasil bumi negara serta menjamin sekuriti makanan dan kesihatan rakyat Malaysia.

Biodata Penulis: ChM. Dr. Wan Norfazilah Wan Ismail merupakan pensyarah kanan program Kimia Industri di Fakulti Sains dan Teknologi Industri, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), seorang Ahli Kimia Berdaftar dan Certified HRDC Trainer. Kajian beliau berfokus kepada keselamatan makanan dan kualiti persekitaran.
