Lawatan Kolej Vokasional Pertanian Chenor Beri Pendedahan Pengurusan Makmal di FSTI
15 Oktober 2026 | UMPSA Paya Besar
Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menerima lawatan akademik daripada delegasi Kolej Vokasional Pertanian Chenor yang terdiri daripada tenaga pengajar institusi tersebut.
Delegasi yang diketuai oleh Pengarah Kolej Vokasional Pertanian Chenor, Puan Suria binti Salleh, telah disambut oleh Dekan FSTI, Profesor Madya Ts. Dr. Aizi Mazila binti Ramli, bersama beberapa staf fakulti.
Lawatan ini bertujuan memberikan pendedahan kepada tenaga pengajar mengenai pengoperasian makmal, penggunaan peralatan berteknologi tinggi serta amalan terbaik dalam pengajaran dan penyelidikan di institusi pengajian tinggi.
Sepanjang lawatan, delegasi dibawa melawat beberapa makmal utama FSTI dan diberikan penerangan mengenai pengoperasian peralatan serta aspek keselamatan makmal. Lawatan ini turut membuka ruang perbincangan mengenai potensi kerjasama akademik dan perkongsian kepakaran antara kedua-dua institusi.
FSTI merakamkan penghargaan atas kunjungan tersebut dan berharap agar pendedahan yang diperoleh dapat dimanfaatkan oleh tenaga pengajar dalam memperkukuh proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di Kolej Vokasional Pertanian Chenor.
