FIST UMPSA

View by Category

UMPSA–MRC Perkukuh Jalinan Universiti–Industri dalam Penyelidikan Keselamatan Pengangkutan ASEAN NCAP VI

2 Oktober 2026 | Shah Alam, Selangor

Penyelidik Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh jaringan strategik universiti–industri menerusi perbincangan bersama Motordata Research Consortium (MRC) dalam usaha memperkasa penyelidikan berkaitan keselamatan pengangkutan di bawah projek ASEAN New Car Assessment Program (ASEAN NCAP) VI.

Sesi perbincangan diketuai oleh Ketua Projek, Ts. Dr. Hanida Abdul Aziz, bersama pasukan penyelidik, manakala MRC diwakili oleh Encik Yasser, Encik Hakeem dan Encik Hazzim.

Pertemuan tersebut memberi tumpuan kepada perkembangan semasa penyelidikan ASEAN NCAP VI, selain membincangkan aspek keselamatan pengangkutan, keselamatan kenderaan serta keperluan dan perspektif industri yang dapat menyokong pelaksanaan penyelidikan.

Menurut Ts. Dr. Hanida, penglibatan pihak industri merupakan elemen penting dalam memastikan penyelidikan yang dilaksanakan mempunyai hubungan yang kukuh dengan keperluan sebenar industri.

“Kerjasama bersama MRC bukan sahaja dapat menyokong pelaksanaan penyelidikan ASEAN NCAP VI, malah menyediakan ruang kepada penyelidik dan pihak industri untuk berkongsi kepakaran, pengalaman serta perspektif dalam bidang keselamatan pengangkutan,” katanya.

Selain perkembangan projek penyelidikan, kedua-dua pihak turut membincangkan hala tuju kerjasama antara UMPSA dan MRC yang berpotensi diperluaskan kepada pelbagai aktiviti pada masa hadapan. Antaranya termasuk perkongsian kepakaran, penyelidikan bersama, pemindahan ilmu dan teknologi serta penglibatan industri dalam aktiviti akademik dan penyelidikan yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Jalinan strategik ini diharapkan dapat memperkukuh ekosistem kerjasama universiti–industri, di samping meningkatkan impak penyelidikan UMPSA dalam menangani isu sebenar berkaitan keselamatan pengangkutan dan automotif. Kerjasama UMPSA–MRC juga berpotensi membuka lebih banyak ruang kolaborasi dalam penyelidikan dan inovasi yang menyokong usaha meningkatkan tahap keselamatan pengangkutan di Malaysia serta rantau ASEAN.

Image
— Contact
Faculty of Industrial Sciences and Technology, UMPSA
26300 Gambang
Pahang