FIST UMPSA

View by Category

Lawatan Pelarasan Program Ijazah Dual UMPSA–KazNARU Perkukuh Kerjasama Akademik Antarabangsa

1–3 Jun 2026 | Almaty, Kazakhstan

Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh jaringan antarabangsa menerusi lawatan rasmi ke Kazakh National Agrarian Research University (KazNARU) bagi menyelaras pelaksanaan Program Ijazah Dual sesi akademik 2026/2027 serta mengiringi pelajar yang menyertai International Summer School 2026.

Delegasi UMPSA diketuai oleh Ts. Dr. Hanida Abdul Aziz, Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa), Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), bersama Dr. Nazira Mahmud, Ketua Jabatan Sains Biologi. Delegasi telah disambut oleh barisan kepimpinan KazNARU termasuk Prof. Dr. Abazov Rafis Fanisovich, Naib Rektor (Hal Ehwal Antarabangsa), dan Prof. Dr. Kulatayev Beibit, Ketua Jabatan Zooengineering dan Bioteknologi.

Sepanjang lawatan, beberapa siri mesyuarat strategik telah diadakan bersama pengurusan tertinggi KazNARU bagi menyelaras pelaksanaan Program Ijazah Dual UMPSA–KazNARU untuk sesi akademik 2026/2027. Perbincangan dipengerusikan oleh Prof. Dr. Gulmira Alpysbayeva, Naib Rektor (Hal Ehwal Akademik), dan turut dihadiri oleh Assoc. Prof. Dr. Asylbek Musoev, Dekan Fakulti Perubatan Veterinar dan Zooengineering, Prof. Dr. Abzal Abdramanov, Ketua International Office, serta beberapa pegawai kanan universiti.

Mesyuarat tersebut memberi tumpuan kepada pelbagai aspek pelaksanaan program, termasuk penyelarasan akademik, jaminan kualiti, akreditasi, kebajikan pelajar, lawatan penaja serta perancangan kerjasama masa hadapan. Kedua-dua institusi turut membincangkan potensi peluasan kolaborasi meliputi mobiliti staf dan pelajar secara fizikal serta hibrid, pelaksanaan Global Classroom dan kuliah jemputan dalam talian, penyelidikan bersama, penerbitan ilmiah serta penyeliaan pelajar pascasiswazah.

Delegasi UMPSA turut mengadakan sesi perbincangan bersama pensyarah KazNARU yang terlibat secara langsung dalam Program Ijazah Dual bagi memperkukuh pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) berasaskan Outcome-Based Education (OBE). Antara pensyarah yang terlibat ialah Prof. Dr. Kulatayev Beibit, Dr. Sagybek Fatima, Mr. Zhanabayev Saparkhan, Assoc. Prof. Dr. Suleymenova Zhuldyz, Dr. Boranbayeva Togzhan dan Dr. Zhalelov Dulat.

Selain menghadiri majlis perasmian International Summer School 2026, delegasi turut meninjau kemudahan akademik dan penyelidikan di KazNARU, termasuk bilik kuliah, bilik seminar, kemudahan pelajar serta beberapa makmal berkaitan bioteknologi. Lawatan turut melibatkan Institute of Plant Biology and Biotechnology (IPBB) yang menempatkan tujuh makmal utama, antaranya Laboratory of Genetics and Breeding, Laboratory of Molecular Biology, dan Laboratory of Breeding and Biotechnology. Fasiliti tersebut berpotensi menyokong aktiviti pembelajaran, program sangkutan pelajar antarabangsa serta kerjasama penyelidikan di peringkat prasiswazah dan pascasiswazah.

Secara keseluruhannya, lawatan ini mencerminkan komitmen tinggi kedua-dua institusi dalam memperkukuh hubungan strategik melalui pelaksanaan Program Ijazah Dual dan peluasan kerjasama akademik serta penyelidikan. Pihak pengurusan KazNARU turut menyatakan sokongan terhadap cadangan-cadangan kerjasama yang dibincangkan, tertakluk kepada kelulusan dalaman khususnya melibatkan aspek kewangan dan sumber. Lawatan ini dijangka menjadi pemangkin kepada kolaborasi yang lebih dinamik dalam memperkasakan agenda pengantarabangsaan kedua-dua universiti.

Image
— Contact
Faculty of Industrial Sciences and Technology, UMPSA
26300 Gambang
Pahang