FIST UMPSA

View by Category

FSTI Perkukuh Kurikulum Program BSB dan DRS Melalui Mesyuarat Bersama Panel Penasihat Program dan Industri

6 Julai 2026 | UMPSA Gambang

Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah mengadakan Mesyuarat Bersama Panel Penasihat Program (Penasihat Akademik) dan Panel Penasihat Industri (IAP) bagi Program Sarjana Muda Sains Gunaan Bioteknologi Industri dengan Kepujian (BSB) dan Diploma Sains Industri (DRS) secara dalam talian menerusi platform Google Meet.

Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Ts. Dr. Muhammad Hafiz bin Mazwir, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), FSTI. Pembentangan perkembangan kedua-dua program disampaikan oleh Dr. Nazira Mahmud, Ketua Jabatan Sains Biologi, dan turut dihadiri oleh panel penasihat program, panel penasihat industri, pensyarah, staf akademik serta staf pentadbiran Program BSB dan DRS.

Panel penasihat yang hadir terdiri daripada Profesor Ts. Dr. Shahrul Hisham Zainal Ariffin dari Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selaku Panel Penasihat Program (Penasihat Akademik), manakala Ts. Elya Masya Mohd Fishal daripada FGV Holdings Berhad dan Encik Royzaib Sugian Bambang Sugian daripada IOI Palm Wood Sdn. Bhd. hadir sebagai Panel Penasihat Industri (IAP).

Mesyuarat ini bertujuan mendapatkan pandangan, maklum balas dan cadangan daripada panel penasihat bagi memastikan kurikulum serta pelaksanaan Program BSB dan DRS sentiasa relevan dengan perkembangan teknologi semasa, memenuhi keperluan industri serta selaras dengan kehendak badan profesional dan pihak berkepentingan.

Sepanjang mesyuarat, pelbagai perkara telah dibincangkan, antaranya perkembangan semasa kedua-dua program, pengambilan pelajar, kebolehpasaran graduan, semakan kurikulum, pembangunan kompetensi graduan, latihan industri serta cadangan penambahbaikan kurikulum. Panel turut berkongsi pandangan mengenai kepentingan mengintegrasikan elemen Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence, AI), analitik data, bioinformatik, kemahiran digital dan pensijilan profesional ke dalam kurikulum bagi memastikan graduan kekal kompeten dan memenuhi keperluan industri yang semakin berkembang.

Selain itu, panel turut mencadangkan agar kerjasama strategik antara universiti dan industri terus diperkukuh melalui peningkatan pendedahan pelajar kepada amalan industri, teknologi terkini, standard profesional serta pembelajaran berasaskan industri. Penekanan turut diberikan kepada pembangunan kemahiran insaniah seperti komunikasi profesional, pemikiran kritis, penyelesaian masalah dan etika kerja bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Maklum balas dan cadangan yang dikemukakan sepanjang mesyuarat akan dijadikan input penting dalam pelaksanaan Continuous Quality Improvement (CQI) bagi memperkukuh kualiti penyampaian program, menambah baik kurikulum serta memastikan Program BSB dan DRS terus relevan, berdaya saing dan mampu melahirkan graduan yang holistik, kompeten serta memenuhi keperluan industri dan negara.

Image
— Contact
Faculty of Industrial Sciences and Technology, UMPSA
26300 Gambang
Pahang