Pensyarah FSTI UMPSA Dijemput Sebagai Pensyarah Tamu Antarabangsa di Universitas Brawijaya, Indonesia
23 Oktober 2026 | Malang, Indonesia
Pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), ChM. Dr. Wan Norfazilah binti Wan Ismail, telah dijemput sebagai pensyarah tamu antarabangsa (International Guest Lecturer) oleh Universitas Brawijaya, Indonesia, bagi menyampaikan kuliah dalam bidang kimia elektroanalisis.
Sesi kuliah jemputan ini dilaksanakan bagi kursus Electroanalytical Chemistry and Separations (MAK62209) untuk semester ganjil sesi akademik 2026/2027, melibatkan dua sesi pengajaran pada 22 dan 23 Oktober 2026.
Kuliah pertama bertajuk “Voltammetric Analysis Technique” memberi pendedahan kepada pelajar mengenai prinsip dan teknik analisis voltametri, manakala sesi kedua bertajuk “Voltammetric Analysis Applications” memfokuskan aplikasi teknik tersebut dalam analisis kimia.
Kedua-dua sesi turut melibatkan aktiviti interaktif bersama 50 orang pelajar pra- dan pascasiswazah melalui perbincangan dan kuiz ringkas bagi mengukuhkan kefahaman terhadap konsep serta aplikasi kaedah elektroanalisis.
Penglibatan ChM. Dr. Wan Norfazilah sebagai pensyarah tamu antarabangsa mencerminkan perkongsian kepakaran akademik FSTI di peringkat antarabangsa, khususnya dalam bidang kimia analisis dan elektrokimia.
Program ini turut membuka ruang kepada pertukaran ilmu dan pengalaman pengajaran antara UMPSA dengan Universitas Brawijaya, di samping menyokong usaha memperluas jaringan akademik antarabangsa melalui penglibatan pensyarah dalam aktiviti pengajaran merentas institusi.
