FIST UMPSA

View by Category

Penyelidik FSTI Serlah Kepakaran Inovasi Teknologi Bersama Industri

19 Mei 2026 | Kuching, Sarawak

Penyelidik Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus cemerlang apabila terlibat secara aktif bersama syarikat Metairflow R&D Sdn. Bhd. dalam program SDEC TechFrontier Incubator (TFI) Cohort 1 yang berlangsung di Hotel Grand Magherita Kuching, Sarawak.

Program anjuran Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) itu menghimpunkan 15 pasukan berpotensi tinggi daripada universiti dan syarikat spin-off seluruh Malaysia bagi mengetengahkan inovasi berasaskan teknologi deep-tech.

Dalam program tersebut, penyelidik dari FSTI iaitu Dr. Nurul Huda binti Abu Bakar bersama pelajar pascasiswazah Nurul Khairiyyah Binti Mohd Zain dan Masyitah Nadhirah Binti Muhamad Khir Juhari telah menjayakan kolaborasi strategik bersama Ts. Dr. Khor Ai Chia yang merupakan pengasas Metairflow R&D Sdn. Bhd.

Kolaborasi tersebut berjaya menarik perhatian panel penilai sehingga pasukan Metairflow R&D Sdn. Bhd. dan UMPSA diumumkan sebagai antara Top 3 Winners dalam program berprestij itu, selain menerima peluang pelaburan sehingga RM250,000 daripada firma modal teroka, Nexea.

Kejayaan ini membuktikan kemampuan penyelidik FSTI UMPSA dalam memperkukuh penyelidikan translasi dan inovasi berimpak tinggi yang bukan sahaja relevan di peringkat akademik, malah berpotensi besar untuk dikomersialkan bagi memenuhi keperluan industri dan masyarakat.

Tambahan lagi Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, program tersebut mencerminkan komitmen kerajaan Sarawak dalam memperkukuh pembangunan inovasi dan teknologi menerusi SDEC. Menurut beliau, hasil penyelidikan dan inovasi teknologi tidak seharusnya hanya tersimpan di makmal atau dalam penerbitan akademik semata-mata, sebaliknya perlu diketengahkan untuk dikomersialkan demi manfaat ekonomi rakyat dan negara.

Keseluruhannya, penyertaan aktif penyelidik FSTI UMPSA dengan kerjasama industri adalah selaras dengan aspirasi fakulti untuk memperkukuh budaya inovasi, jaringan industri dan pembangunan teknologi mampan yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat serta negara.

Laporan disediakan oleh:
Dr. Nurul Huda binti Abu Bakar
Pensyarah Kanan

Image
— Contact
Faculty of Industrial Sciences and Technology, UMPSA
26300 Gambang
Pahang