Warga FSTI Cemerlang di CITREX 2026 dengan Pelbagai Anugerah Inovasi dan Pengiktirafan Khas
6-7 Mei 2026 | UMPSA Gambang
Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus mencipta kejayaan membanggakan apabila warga staf dan pelajar berjaya meraih pelbagai anugerah serta pengiktirafan khas dalam 16th Creation, Innovation, Technology & Research Exposition (CITREX) 2026 yang berlangsung pada 6 hingga 7 Mei 2026 di Kompleks Sukan UMPSA Gambang.
Antara pencapaian paling membanggakan ialah kejayaan Assoc. Prof. Ts. Dr. Rasidi Roslan yang berjaya meraih Pingat Emas serta anugerah tertinggi “Best of the Best Award” menerusi inovasi bertajuk “Green UV-Curable and Self-Healing Lignin-Based Coating Aerosol Paint for Automotive Application”.
FSTI turut menerima beberapa pengiktirafan khas dalam kategori staf dan pelajar. Dr. Mirta Widia telah menerima Anugerah Inovasi Sains & Teknologi Lestari FSTI 2026 menerusi projek “ERGORAMMSYS: Ergonomic Risk Assessment for Manual Material Handling Task System”. Selain itu, Dr. Nor Hasmaliana Abdul Manas menerima Anugerah Khas The Microbiome Lab: Inovasi Sains Kesihatan bagi inovasi “OLEAQ10: The Molecular Inclusion Platform for Synergistic Antioxidant Fortification”.
Dalam kategori pelajar, Miss Harlyana Azreen Binti Aminuddin di bawah penyeliaan Dr. Mohd Shahril bin Abu Hanifah telah menerima Anugerah Saintis Muda Inovatif FSTI 2026 (Pelajar) menerusi projek berkaitan sistem pemantauan pendedahan bunyi di tapak pembinaan. Sementara itu, Miss Tan Wei Qie bersama ahli kumpulan Ang Kah Ho di bawah penyeliaan Dr. Nor Adila Mhd Omar menerima Anugerah Inovasi Sains & Teknologi FSTI 2026 (Pelajar) menerusi inovasi krim berasaskan Scorodocarpus borneensis untuk penyembuhan luka.
Selain pengiktirafan khas, warga FSTI turut memperoleh pelbagai pingat emas, perak dan gangsa dalam kategori staf dan pelajar hasil penyelidikan dan inovasi yang diketengahkan dalam pelbagai bidang sains dan teknologi.
Pencapaian ini membuktikan komitmen berterusan warga FSTI dalam memperkasa budaya penyelidikan, inovasi dan pembangunan teknologi berimpak tinggi yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat dan industri.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua staf, pelajar dan penyelia atas kejayaan yang membanggakan ini serta kerana terus mengharumkan nama FSTI dan UMPSA di peringkat universiti.
