Industry Co-Lecture DRO1303 Persiap Pelajar Mendepani Jangkaan Industri dan Peluang Kerjaya OSH
5 Ogos 2026 | UMPSA Gambang
Seramai 107 orang pelajar yang mengikuti kursus DRO1303: Introduction to Occupational Safety and Health (OSH) telah menyertai program Industry Co-Lecture bertajuk “Future-Ready OSH Professionals: Industry Expectations and Career Opportunities” yang diadakan secara dalam talian menerusi Google Meet.
Sesi perkongsian tersebut telah disampaikan oleh Puan Nor Faraliana Shazwani binti Nor Azmi, seorang profesional dalam bidang Environment, Health and Safety (EHS). Beliau berkongsi pengetahuan, pengalaman industri dan pandangan berkaitan keperluan serta peluang kerjaya dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Program ini merupakan inisiatif pembelajaran berasaskan industri yang bertujuan memberikan pendedahan awal kepada pelajar mengenai keperluan sebenar sektor pekerjaan serta perkembangan kerjaya dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Pelaksanaan program ini turut membantu menghubungkan pengetahuan teori yang dipelajari dalam kuliah dengan amalan OSH sebenar di tempat kerja.
Antara topik utama yang diketengahkan ialah jangkaan industri terhadap graduan OSH, kompetensi yang perlu dimiliki oleh profesional OSH, kemahiran komunikasi dan kepimpinan, amalan etika dan integriti, kepentingan pembelajaran sepanjang hayat serta peluang kerjaya dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Pelajar turut diberikan penerangan mengenai laluan kerjaya dan skop tugas beberapa profesion OSH seperti Safety and Health Officer (SHO), Site Safety Supervisor (SSS), OSH Coordinator (OSH-C), jurulatih keselamatan serta pegawai yang terlibat dalam aspek pematuhan dan audit sosial industri.
Melalui perkongsian tersebut, pelajar didedahkan kepada kepentingan menguasai bukan sahaja pengetahuan teknikal, malah kemahiran insaniah, penyelesaian masalah, pemikiran kritis, komunikasi yang berkesan serta keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi dan keperluan industri.
Selain memperluas pengetahuan mengenai pilihan kerjaya, program ini turut membantu pelajar mengenal pasti kompetensi dan pensijilan profesional yang berpotensi meningkatkan kebolehpasaran mereka selepas tamat pengajian. Interaksi secara langsung bersama pengamal industri juga memberikan gambaran yang lebih jelas mengenai cabaran, tanggungjawab dan jangkaan sebenar terhadap seorang profesional OSH.
Penganjuran Industry Co-Lecture ini selari dengan aspirasi Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dalam menyediakan pendidikan yang berkualiti, relevan dengan kehendak industri dan berorientasikan masa hadapan. Program ini turut menyokong usaha fakulti untuk melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing, berintegriti dan bersedia menyumbang kepada industri serta masyarakat.
Melalui kerjasama berterusan antara universiti dan industri, program seumpama ini diharapkan dapat memperkukuh pengalaman pembelajaran pelajar serta membantu membentuk generasi profesional OSH yang lebih bersedia mendepani cabaran keselamatan dan kesihatan pekerjaan pada masa hadapan.
