FIST UMPSA

View by Category

FSTI UMPSA dan ANALIS Dedah Pelajar SMK Lepar kepada Analisis Mikroplastik

12 November 2026 | Gambang, Pahang

Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dengan kerjasama Persatuan Sains Analisis Malaysia (ANALIS) telah menganjurkan program “Hands-on Analytical Chemistry Module: Identification of Microplastics by Density and Visual Characteristics” di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lepar.

Program yang dibiayai sepenuhnya oleh ANALIS ini melibatkan seramai 50 pelajar dan berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari. Penganjurannya bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap pencemaran mikroplastik dan memberikan pendedahan kepada aplikasi asas kimia analitik melalui aktiviti pembelajaran secara amali (hands-on).

Sepanjang program, pelajar menjalankan aktiviti simulasi degradasi plastik bagi memahami perbezaan sifat bahan plastik konvensional dan plastik biodegradasi, termasuk kekuatan tegangan serta proses penguraiannya.

Peserta turut menjalankan ujian pemisahan ketumpatan (density separation) bagi mengenal pasti jenis sampel plastik, di samping mempelajari kod kitar semula plastik. Selain itu, pelajar diberikan pendedahan kepada penggunaan mikroskop untuk memerhati dan merekodkan ciri fizikal mikroplastik daripada sampel persekitaran, termasuk warna dan bentuknya.

Penganjuran program ini memberikan pengalaman pembelajaran STEM yang menghubungkan konsep kimia analitik dengan isu pencemaran alam sekitar. Kerjasama FSTI dan ANALIS ini turut menyokong usaha meningkatkan minat pelajar terhadap bidang sains serta memupuk kesedaran tentang kepentingan kelestarian alam sekitar.

Image
— Contact
Faculty of Industrial Sciences and Technology, UMPSA
26300 Gambang
Pahang