Program Inovator Muda STEM FSTI Dedah Pelajar SMK Lepar kepada Penyiasatan Saintifik
12 November 2026 | Gambang, Pahang
Seramai 50 pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lepar berpeluang merasai pengalaman sebagai penyiasat forensik menerusi program Detektif STEM (Operasi Kantin) yang dikendalikan oleh Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Program ini merupakan sesi pertama bagi Program Inovator Muda STEM: Sinergi Bio, Kimia & Fizik yang dilaksanakan di bawah inisiatif Program STI 100³ anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Program ini diketuai oleh Ts. Dr. Nurul 'Azyyati binti Sabri selaku Pengarah Program bersama barisan pensyarah dan penyelidik FSTI.
Berteraskan tema penyiasatan kes keracunan makanan di kantin sekolah, peserta menjalankan pelbagai aktiviti saintifik secara berkumpulan melalui tiga stesen utama yang menggabungkan bidang Biologi, Kimia dan Fizik.
Di Stesen Biologi, pelajar menjalankan aktiviti pengekstrakan DNA daripada sampel makanan, pengesanan sisa pencemaran menggunakan cahaya ultraungu (UV) serta ujian kehadiran enzim. Stesen Kimia pula memberi tumpuan kepada pengenalpastian bahan plastik melalui ujian pemisahan ketumpatan dan demonstrasi degradasi plastik.
Sementara itu, Stesen Fizik dan Matematik mengetengahkan aplikasi konsep sains forensik dan optik melalui aktiviti penyahsulitan mesej rahsia serta pembiasan cahaya.
Menurut Ts. Dr. Nurul 'Azyyati, pendekatan pembelajaran secara amali (hands-on) dan gamifikasi penyiasatan ini dirangka bagi merangsang pemikiran kritis, kemahiran menyelesaikan masalah serta meningkatkan minat pelajar terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Program ini turut mendapat kerjasama guru pengiring dan fasilitator SMK Lepar yang membantu tenaga pengajar FSTI membimbing peserta sepanjang aktiviti berlangsung.
Program STI 100³ di SMK Lepar akan diteruskan dengan sesi kedua pada 19 November 2026 melalui lawatan penerokaan ke makmal penyelidikan FSTI di UMPSA Kampus Paya Besar, sebelum diakhiri dengan Pertandingan Reka Cipta STEM pada 26 November 2026.
