Lebih 800 Pelajar SMK Seri Mahkota Terokai Dunia TVET dan STEM Bersama FSTI UMPSA
16 Jun 2026 | Kuantan, Pahang
Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menyertai Program Pameran Teknologi dan Industri TVET/STEM yang berlangsung di Sanggar Mahkota, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Mahkota, Kuantan.
Program yang diadakan sempena Minggu VOTEK dan Kerjaya sekolah tersebut bertujuan memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), di samping memperkenalkan peluang pendidikan dan kerjaya dalam sektor teknologi dan industri. Program ini melibatkan penyertaan kira-kira 800 orang pelajar Tingkatan 1, Tingkatan 2 dan Tingkatan 3.
Penyertaan FSTI diketuai oleh Dr. Nor Adila binti Mhd Omar bersama barisan pensyarah daripada empat bidang pengajian iaitu Bioteknologi Industri, Kimia Industri, Teknologi Bahan serta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH).
Sepanjang program berlangsung, para pelajar berpeluang mengunjungi ruang pameran FSTI yang menampilkan pelbagai aktiviti interaktif, demonstrasi sains dan teknologi serta perkongsian berkaitan bidang pengajian yang ditawarkan di fakulti. Aktiviti yang dijalankan berjaya menarik minat pelajar untuk mendekati dunia TVET dan STEM melalui pengalaman pembelajaran yang interaktif serta menyeronokkan.
Selain memberi pendedahan mengenai bidang pengajian yang ditawarkan di FSTI, program ini turut membuka peluang kepada pelajar untuk mendapatkan maklumat mengenai laluan pendidikan tinggi, perkembangan teknologi semasa serta prospek kerjaya dalam pelbagai sektor industri. Sambutan yang diterima daripada para pelajar amat menggalakkan dengan penyertaan aktif dalam setiap aktiviti yang disediakan.
Program ini secara tidak langsung membantu meningkatkan kesedaran dan minat pelajar terhadap bidang TVET dan STEM yang semakin penting dalam memenuhi keperluan tenaga kerja berkemahiran tinggi pada masa hadapan.
Melalui penglibatan aktif dalam program pendidikan dan komuniti seperti ini, FSTI UMPSA terus komited memperkukuh hubungan kerjasama dengan institusi pendidikan serta menyokong usaha memperkasakan TVET dan STEM dalam kalangan generasi muda selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan modal insan yang kompeten, inovatif dan berdaya saing.
