FIST UMPSA

View by Category

Program CSR STEM UMPSA Tarik Minat Pelajar SMK Maran Terhadap Bidang Sains dan Teknologi

24 Jun 2026 | Maran, Pahang

Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FIST) bersama Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menganjurkan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) STEM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Maran yang melibatkan seramai 160 orang pelajar Tingkatan 4 dan Tingkatan 5.

Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran, minat dan kefahaman pelajar terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), di samping memberi pendedahan awal mengenai peluang pendidikan dan kerjaya dalam bidang berkaitan.

Program dimulakan dengan sesi perkongsian bertajuk Career Talk in STEM yang disampaikan oleh Prof. Madya Ir. Dr. Mohd Bijarimi bin Mat Piah. Sesi tersebut memberikan gambaran mengenai perkembangan kerjaya dalam bidang STEM serta kepentingan kemahiran masa hadapan yang diperlukan oleh industri. Seterusnya, Ts. Dr. Azizan Ramli menyampaikan ceramah mengenai laluan melanjutkan pengajian dan prospek kerjaya dalam bidang STEM bagi membantu pelajar membuat perancangan pendidikan yang lebih jelas.

Bagi meningkatkan penglibatan pelajar, beberapa aktiviti STEM secara praktikal telah dijalankan, antaranya pembinaan dan pelancaran roket, eksperimen gunung berapi (volcano), latihan asas Cardiopulmonary Resuscitation (CPR), serta demonstrasi teknik pempolimeran kimia. Aktiviti-aktiviti ini memberi peluang kepada pelajar mengaplikasikan konsep sains secara langsung melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman.

Program ini turut mendapat sokongan daripada 10 orang staf serta dua orang pelajar pascasiswazah daripada FIST dan FTKKP yang bertindak sebagai fasilitator dan penyelaras aktiviti sepanjang program berlangsung.

Melalui pelaksanaan program ini, UMPSA berharap dapat memupuk minat pelajar terhadap bidang STEM serta menggalakkan lebih ramai pelajar memilih bidang sains dan teknologi sebagai laluan pengajian dan kerjaya pada masa hadapan. Program sebegini juga mencerminkan komitmen universiti dalam melaksanakan pemindahan ilmu kepada komuniti serta memperkukuh hubungan strategik antara institusi pendidikan tinggi dan sekolah.

Disediakan oleh:
Nurud Suria Suhaimi
Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FIST)
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah

Image
— Contact
Faculty of Industrial Sciences and Technology, UMPSA
26300 Gambang
Pahang