Lawatan Industri ke Hexagon Green Biotech Sdn. Bhd. Dedahkan Pelajar FSTI kepada Industri Pengeluaran Orkid
13 Mei 2026 | Banting, Selangor
Seramai 46 orang pelajar kursus BSB3163 Plant and Mammalian Cell Technology dari Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menyertai lawatan industri ke Hexagon Green Biotech Sdn. Bhd., Banting, Selangor. Lawatan ini turut diiringi oleh Prof. Madya Dr. Tan Suat Hian selaku pensyarah kursus.
Lawatan ini bertujuan memberikan pendedahan secara langsung kepada pelajar mengenai industri pengeluaran orkid, khususnya dari aspek jenis-jenis orkid, kaedah penanaman, pengurusan tanaman serta proses penghasilan orkid berkualiti untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.
Ketibaan para pelajar telah disambut oleh Dr. Md. Yusof Husin, pemilik Hexagon Green Biotech Sdn. Bhd., yang turut menyampaikan taklimat mengenai latar belakang syarikat, operasi pengeluaran orkid serta perkembangan industri orkid di Malaysia. Pelajar turut didedahkan kepada peranan syarikat dalam menghasilkan bunga orkid segar dan pokok hidup yang dieksport terutamanya ke Jepun, selain pasaran Singapura dan negara-negara Timur Tengah seperti Emiriah Arab Bersatu.
Sepanjang lawatan, pelajar berpeluang mengikuti pelbagai aktiviti termasuk sesi taklimat syarikat, lawatan ke fasiliti pengeluaran, lawatan ke ladang orkid, sesi soal jawab serta pameran mini berkaitan pelbagai jenis orkid yang dihasilkan dan dieksport oleh syarikat. Aktiviti ini memberi peluang kepada pelajar untuk melihat dengan lebih dekat kepelbagaian spesies orkid yang diusahakan serta memahami kaedah penjagaan dan penanaman yang diamalkan bagi memastikan kualiti tanaman sentiasa terpelihara.
Secara keseluruhannya, lawatan industri ini telah memberikan pengalaman pembelajaran yang bermakna kepada pelajar dengan menghubungkan pengetahuan teori yang dipelajari dalam kursus BSB3163 Plant and Mammalian Cell Technology dengan amalan sebenar industri. Pendedahan ini diharapkan dapat meningkatkan kefahaman pelajar terhadap potensi industri pengeluaran orkid serta membuka perspektif baharu mengenai bidang bioteknologi tumbuhan dan florikultur.
