FIST UMPSA

View by Category

Lawatan Industri Pelajar BPS3693 Hazardous Waste Management ke Pentas Flora (Kuantan) Sdn. Bhd.

15 Jun 2026 | Kuantan, Pahang

Seramai 15 orang pelajar Program Sarjana Muda Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH), Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menyertai lawatan industri ke Pentas Flora (Kuantan) Sdn. Bhd. di Kawasan Perindustrian Semambu, Kuantan. Lawatan ini merupakan sebahagian daripada aktiviti pembelajaran bagi kursus BPS3693 Hazardous Waste Management.

Lawatan ini bertujuan memberikan pendedahan secara langsung kepada pelajar mengenai amalan pengurusan sisa terjadual di industri, termasuk proses pengumpulan, penyimpanan sementara, pengangkutan serta pematuhan terhadap perundangan yang berkaitan.

Para pelajar telah diberikan taklimat oleh Puan Fatin Fatinah binti Aziz, Senior Executive Business Support, Pentas Flora (Kuantan) Sdn. Bhd., mengenai operasi syarikat yang berfungsi sebagai Scheduled Waste Off-Site Storage Facility bagi sisa terjadual yang dikumpulkan dari seluruh negeri Pahang. Selain itu, fasiliti ini turut berperanan sebagai Waste Transfer Point (WTP) bagi wilayah Pahang, di mana sisa yang disimpan akan dikumpulkan oleh lori tangki dari Banting, Selangor sebelum dihantar ke loji Pentas Flora untuk proses rawatan sisa terjadual dan penapisan semula (re-refinery).

Pelajar turut berpeluang melihat sendiri kemudahan penyimpanan sisa, prosedur pemindahan sisa terjadual daripada tong simpanan ke lori tangki, serta langkah-langkah kawalan pencemaran yang dilaksanakan bagi memastikan pengurusan sisa terjadual dijalankan secara selamat dan mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Selain itu, para pelajar turut diberikan penerangan mengenai penggunaan Electronic Scheduled Waste Information System (eSWIS) yang dibangunkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS). Sistem ini digunakan oleh penghasil, pengangkut dan penerima buangan terjadual untuk merekod inventori sisa, menjana nota konsainan, serta menjejak pergerakan sisa daripada premis penghasil sehingga ke fasiliti rawatan atau pelupusan yang diluluskan.

Lawatan industri ini telah memberikan pengalaman pembelajaran yang berharga kepada para pelajar dengan menghubungkan teori yang dipelajari di dalam kuliah dengan amalan sebenar di industri. Pendedahan ini diharapkan dapat meningkatkan pemahaman pelajar terhadap aspek pengurusan sisa berbahaya serta memperkukuhkan kompetensi mereka sebagai bakal pengamal keselamatan dan kesihatan pekerjaan pada masa hadapan.

Program lawatan ini telah dikendalikan oleh Ts. Dr. Mohammad Adam bin Adman selaku pensyarah kursus BPS3693 Hazardous Waste Management dan diiringi oleh Dr. Nor Ashikin binti Sopian, Koordinator Kursus, sepanjang sesi lawatan berlangsung.

Fakulti merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Pentas Flora (Kuantan) Sdn. Bhd. atas kesudian menerima kunjungan pelajar serta berkongsi ilmu dan pengalaman berkaitan pengurusan sisa terjadual. Kerjasama antara institusi pendidikan dan industri seperti ini diharapkan dapat diteruskan bagi melahirkan graduan yang kompeten dan bersedia menghadapi keperluan dunia pekerjaan.

 

Disediakan oleh:
Dr. Nor Ashikin binti Sopian
Koordinator BPS3693 Hazardous Waste Management

Image
— Contact
Faculty of Industrial Sciences and Technology, UMPSA
26300 Gambang
Pahang