Program Mobiliti Ilmu Perkasa Budaya Keselamatan di Institusi Pendidikan Islam di UNIDA Gontor
24 Jun 2026 | Ponorogo, Indonesia
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menganjurkan Program Mobiliti Ilmu Perkasa Budaya Keselamatan di Institusi Pendidikan Islam di Universitas Darussalam (UNIDA) Gontor, Indonesia pada 22 hingga 24 Jun 2026 di bawah geran penyelidikan bersama UMPSA–UNIDA.
Program ini disertai oleh barisan pensyarah daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan yang bersama-sama menyumbang kepakaran dalam bidang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP). Delegasi UMPSA diketuai oleh Dr. Mohd Shahril bin Abu Hanifah selaku Ketua Penyelidik.
Program yang melibatkan kerjasama antara Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universitas Darussalam (UNIDA) Gontor ini menjadi platform perkongsian kepakaran berkaitan amalan terbaik KKP, khususnya dalam memperkukuh budaya keselamatan di institusi pendidikan Islam seperti sekolah pondok dan pesantren. Kolaborasi ini turut memperkukuh jaringan strategik antara institusi pengajian tinggi di Malaysia dan Indonesia dalam usaha memartabatkan amalan KKP secara holistik dan berimpak tinggi.
Antara pengisian utama program ialah OSH Expert Joint Seminar, sesi pembentangan SAM-iSAFE, serta lawatan ke kampus dan makmal yang memberi peluang kepada peserta bertukar pandangan mengenai pelaksanaan amalan keselamatan di institusi pendidikan.
Selain itu, program ini turut merangkumi komponen Corporate Social Responsibility (CSR) melalui aktiviti penilaian risiko (risk assessment) secara langsung di beberapa pesantren di bawah kelolaan UNIDA Gontor menggunakan kaedah SAM-iSAFE. Inisiatif ini melibatkan penilaian menyeluruh terhadap aspek keselamatan fizikal, persekitaran dan operasi, termasuk pengenalpastian hazard, analisis risiko serta cadangan langkah kawalan yang bersesuaian.
Pendekatan SAM-iSAFE digunakan bagi memastikan proses penilaian dilaksanakan secara lebih sistematik, praktikal dan mudah diaplikasikan oleh pihak pengurusan institusi. Melalui sesi ini, dapatan penilaian diterjemahkan kepada cadangan penambahbaikan yang realistik, merangkumi aspek pengurusan risiko, penambahbaikan fasiliti serta pengukuhan budaya kerja selamat dalam kalangan warga pesantren.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, FSTI UMPSA dalam memperluaskan pemindahan ilmu serta menggalakkan pengaplikasian amalan KKP di peringkat antarabangsa. Diharapkan perkongsian kepakaran ini dapat meningkatkan kesedaran dan memperkukuh budaya keselamatan dalam institusi pendidikan Islam, sekali gus menyumbang kepada pembentukan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat, sihat dan lestari.
