FIST UMPSA

View by Category

Program Mobiliti Inbound FSTI–UNAIR Perkukuh Jaringan Akademik Antarabangsa

4 September 2026 | UMPSA Gambang

Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menganjurkan Program Mobiliti Inbound Tanpa Kredit FSTI–Universitas Airlangga (UNAIR), Indonesia selama empat hari bermula 1 hingga 4 September 2026.

Delegasi Program Keselamatan dan Kesehatan Kerja (K3), Fakultas Vokasi, UNAIR terdiri daripada tiga pensyarah, iaitu Shofiyatur Rohmah, Nur Anisah Rahmawati dan Herman Bagus Dwicahyo, serta lima orang pelajar. Delegasi telah disambut oleh Ts. Dr. Muhammad Hafiz Mazwir, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), FSTI, diikuti taklimat dan promosi program akademik serta sesi perbincangan berkaitan potensi kerjasama akademik dan penyelidikan antara kedua-dua universiti.

Sepanjang program, peserta mengikuti kuliah khas berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan oleh Ts. Dr. Wan Zaiton Wan Sulaiman dan Dr. Shakirah Noor Azlan, selain mengadakan lawatan ke makmal KKP FSTI bagi mengenali kemudahan serta instrumen yang digunakan dalam aktiviti pemantauan hazard di tempat kerja.

Peserta turut mengadakan lawatan industri dan aktiviti khidmat komuniti antarabangsa di TT Electronics, Kuantan. Mereka diberikan pendedahan mengenai amalan KKP dalam operasi industri serta menjalankan aktiviti pemantauan persekitaran pekerjaan melibatkan pengukuran tahap pencahayaan.

Selain pengisian akademik dan industri, delegasi UNAIR berpeluang mengenali budaya dan warisan Pahang menerusi lawatan sekitar Kuantan. Peserta turut berpeluang bertemu Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj sempena Temasya Warisan Pahang di Muzium Seni Kontemporari (MOCA), Kuantan.

Program berakhir dengan sesi refleksi dan majlis penutup pada 4 September 2026. Penganjuran program ini bukan sahaja memperluas pengalaman pembelajaran antarabangsa dalam kalangan pelajar, malah memperkukuh hubungan antara UMPSA dan UNAIR melalui perkongsian ilmu, pendedahan industri, pertukaran budaya serta penerokaan potensi kerjasama akademik dan penyelidikan pada masa hadapan.

Disediakan oleh:
Dr. Nor Ashikin Sopian
Pengarah Program Mobiliti Inbound FSTI–UNAIR

Image
— Contact
Faculty of Industrial Sciences and Technology, UMPSA
26300 Gambang
Pahang