Lawatan Bermaklumat dan Terapi Minda SPM 2026 Beri Pendedahan Pendidikan Tinggi kepada Pelajar SMK Tun Telanai
20 Ogos 2026 | UMPSA Gambang
Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menerima kunjungan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Telanai, Terengganu menerusi Lawatan Bermaklumat dan Terapi Minda SPM 2026.
Program ini memberi peluang kepada para pelajar untuk mendapatkan pendedahan berkaitan pendidikan tinggi, peluang melanjutkan pengajian serta laluan kerjaya, di samping mengikuti aktiviti yang dapat menyegarkan minda sebagai persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Lawatan dimulakan dengan sesi taklimat program yang disampaikan oleh Ts. Dr. Nazira Mahmud, Ketua Jabatan Sains Biologi; Profesor Madya Ts. Dr. Nurjannah Salim, Ketua Jabatan Sains Fizikal; dan Dr. Mohd Shahril Abu Hanifah, Ketua Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan. Melalui sesi tersebut, para pelajar mendapat pendedahan mengenai bidang pengajian yang berkaitan serta peluang melanjutkan pengajian ke peringkat pendidikan tinggi.
Program kemudiannya diteruskan dengan demonstrasi STEM yang memberi peluang kepada para pelajar mendekati bidang sains dan teknologi melalui aktiviti yang lebih interaktif. Para pelajar turut dibawa melawat sekitar makmal FSTI bagi melihat dengan lebih dekat kemudahan pembelajaran dan persekitaran akademik yang terdapat di fakulti.
Penganjuran program ini diharapkan dapat memberikan pengalaman yang bermakna kepada para pelajar SMK Tun Telanai serta menjadi sumber inspirasi dan motivasi dalam merancang hala tuju pendidikan dan kerjaya selepas SPM. Pendedahan secara langsung kepada suasana universiti juga diharapkan dapat meningkatkan keyakinan mereka untuk melangkah ke alam pendidikan tinggi pada masa hadapan.
