FIST UMPSA

View by Category

FSTI Dekati Pelajar Sekolah Menerusi Pameran STEM Interaktif

11 Ogos 2026 | Kuantan, Pahang

Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menyemarakkan minat pelajar terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menerusi Program Pameran STEM sempena Minggu Akademik Sains dan Votek 2026 di SMK Pelabuhan, Kuantan.

Program yang menyasarkan 264 pelajar Tingkatan 3 itu menjadi platform kepada FSTI untuk membawa pengalaman pembelajaran sains keluar daripada bilik darjah melalui pameran, demonstrasi dan aktiviti interaktif.

Pameran mengetengahkan empat program akademik utama FSTI iaitu Kimia Industri (BSK), Bioteknologi Industri (BSB), Teknologi Bahan (BSP) dan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (BPS) dengan setiap program menawarkan aktiviti yang memperlihatkan aplikasi sebenar ilmu sains dan teknologi.

Bagi Kimia Industri (BSK), pelajar didedahkan kepada Distillation & Extraction Demo bagi memahami prinsip pemisahan dan pengekstrakan, selain berpeluang mengikuti aktiviti penghasilan sabun. Pendekatan secara demonstrasi dan hands-on ini membolehkan konsep kimia dilihat dalam konteks produk dan proses yang dekat dengan kehidupan seharian.

Teknologi Bahan (BSP) pula mengetengahkan aktiviti Soundwave (SKM) dan Beyond the Naked Eye. Aktiviti tersebut memberi ruang kepada pelajar meneroka fenomena dan sifat bahan melalui perspektif yang tidak dapat diperhatikan dengan mata kasar serta memahami bagaimana ilmu berkaitan bahan diaplikasikan dalam teknologi.

Dalam segmen Bioteknologi Industri (BSB), tiga aktiviti iaitu Yeast Explorer, Brix Challenge dan Color Race membawa pelajar meneroka dunia mikroorganisma, pengukuran serta tindak balas melalui aktiviti yang berbentuk eksperimen dan cabaran.

Sementara itu, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (BPS) memperkenalkan aspek keselamatan melalui aktiviti Chemical Safety Hero dan demonstrasi penggunaan Personal Protective Equipment (PPE). Pelajar bukan sahaja diperkenalkan kepada peralatan perlindungan diri, malah diberi kesedaran mengenai kepentingan amalan kerja selamat apabila berhadapan dengan bahan kimia dan persekitaran pekerjaan.

Pelaksanaan pameran ini selari dengan hasrat FSTI untuk memberi pendedahan berkaitan STEM dan teknologi/TVET, memperkenalkan program akademik FSTI kepada pelajar sekolah menengah serta meningkatkan visibiliti FSTI dan UMPSA melalui aktiviti outreach komuniti dan pendidikan.

Lebih daripada sekadar pameran, pendekatan interaktif tersebut memberi peluang kepada pelajar Tingkatan 3 melihat sendiri bahawa bidang sains bukan hanya berkisar tentang teori dan formula, sebaliknya mempunyai aplikasi luas dalam industri, teknologi, pembangunan produk dan keselamatan pekerjaan.

Program turut menjadi medium untuk mengukuhkan hubungan kerjasama antara universiti dan sekolah dalam usaha membudayakan STEM serta membantu pelajar mendapatkan gambaran awal mengenai pilihan bidang pengajian dan kerjaya pada masa hadapan.

Image
— Contact
Faculty of Industrial Sciences and Technology, UMPSA
26300 Gambang
Pahang