Wakil FSTI Bimbing Lepasan SPM Rancang Halatuju Pendidikan dan Kerjaya
27 Jun 2026 | Gambang, Pahang
Empat pensyarah daripada Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah dijemput sebagai penceramah dalam Program Bimbingan Halatuju Pendidikan dan Kerjaya Pelajar Lepasan SPM yang berlangsung di Dewan Persatuan Perniagaan Cina Daerah Gambang.
Pensyarah yang mewakili FSTI ialah Profesor Madya Dr. Tan Suat Hian, ChM. Ts. Dr. Ros Azlinawati Ramli dan Dr. Noor Suhana Adzahar. Turut dijemput hadir bersama adalah Profesor Madya Dr. Doh Shu Ing dari FTKA. Program khidmat masyarakat anjuran Persatuan Dewan Perniagaan Cina Daerah Gambang ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar lepasan SPM dan ibu bapa mengenai laluan pendidikan selepas SPM.
Sepanjang program, para peserta diberikan penerangan mengenai peluang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi, pemilihan program akademik yang bersesuaian, prospek kerjaya serta kemudahan pembiayaan pendidikan. Melalui sesi perkongsian yang interaktif, peserta turut didedahkan kepada kepentingan perancangan akademik yang sistematik bagi membantu mereka membuat keputusan berdasarkan minat, kebolehan dan aspirasi kerjaya masing-masing.
Program ini berjaya meningkatkan kesedaran komuniti terhadap kepentingan pendidikan tinggi, di samping memberi inspirasi dan keyakinan kepada pelajar dalam merancang hala tuju pendidikan serta kerjaya mereka.
Penglibatan UMPSA dalam program ini turut memperkukuh hubungan strategik antara universiti dan komuniti setempat, selaras dengan komitmen universiti dalam melaksanakan pemindahan ilmu, memperkasa masyarakat dan menyokong pembangunan modal insan yang mampan.
