LOI UMPSA–KKPB Perkukuh Kerjasama Program SULAM Komuniti Halal
12 Mei 2026 | Kuantan, Pahang
Satu langkah awal kerjasama strategik bagi pelaksanaan program Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) telah dimeterai menerusi sesi menandatangani Letter of Intent (LOI) antara Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Kolej Komuniti Paya Besar (KKPB).
Perjumpaan tersebut melibatkan wakil UMPSA iaitu koordinator kursus BSB3713 Halal Production merangkap Pengarah Program bagi Projek SULAM Halal Awareness in SME Community, Dr. Aishah binti Mohd Marsin, bersama Pengarah Kolej Komuniti Paya Besar, Pn. Shuhaila binti Ibrahim.
Turut hadir ialah pegawai PSH, Pn. Norita binti Ahmad dan Pn. Nur Azlin binti Azman serta Dr. Mohd Azwan bin Jenol selaku Penolong Pengarah Program SULAM tersebut.
Sesi yang berlangsung dalam suasana harmoni dan mesra itu bertujuan mengeratkan hubungan kerjasama antara kedua-dua institusi di samping memeterai LOI bagi pelaksanaan program SULAM yang dijadualkan berlangsung pada 5 Jun 2026.
Program Halal Awareness in SME Community bakal melibatkan seramai 25 orang fasilitator yang terdiri daripada pelajar kursus BSB3713 Halal Production dari Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), UMPSA serta penyertaan kira-kira 60 orang komuniti awam.
Program ini dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat, khususnya komuniti perusahaan kecil dan sederhana (PKS), berkaitan kepentingan pengurusan dan pensijilan halal dalam industri makanan dan produk pengguna.
Dengan termeterainya LOI ini, diharapkan kerjasama strategik antara UMPSA dan Kolej Komuniti Paya Besar dapat diperkukuhkan sekali gus memberi impak positif kepada pembangunan komuniti melalui pemindahan ilmu, kesedaran halal serta penglibatan aktif mahasiswa bersama masyarakat.
