FIST UMPSA

View by Category

Aktiviti SULAM “Bio-Material Innovation for Communities” Perkukuh Kesedaran Plastik Lestari dalam Kalangan Pelajar Sekolah

20 Mei 2026 | Kuantan, Pahang

Satu program Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) bertajuk “Bio-Material Innovation for Communities: A Beginner’s Path to Sustainable Plastics” telah berjaya dilaksanakan oleh pelajar Program Teknologi Bahan, Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dengan kerjasama SMK Gambang.

Program ini melibatkan seramai 32 orang pelajar Program Teknologi Bahan, terdiri daripada 18 orang pelajar kursus BSK1133 dan 14 orang pelajar kursus BSK3533, bersama barisan pensyarah dan fasilitator FSTI.

Program diketuai oleh ChM. Ts. Dr. Siti Maznah binti Kabeb bersama pasukan pensyarah dan fasilitator yang terdiri daripada Dr. Kamrul Fakir bin Kamarudin, Mdm. Norhayati binti Nordin, ChM. Dr. Nazikussabah binti Zaharudin, ChM. Ts. Dr. Nurlin binti Abu Samah, ChM. Ts. Dr. Yuen Mei Lian, serta staf teknikal, Muhammad Alif Mustakim bin Zuhan.

Seramai 52 orang pelajar Tingkatan 3 dan Tingkatan 4 dari SMK Gambang telah menyertai program ini yang dianjurkan bagi memberi pendedahan awal mengenai konsep biomaterial dan plastik lestari. Program ini selaras dengan usaha meningkatkan kesedaran terhadap isu penggunaan plastik berasaskan petroleum yang semakin membimbangkan di peringkat global.

Selain itu, program ini turut membuka ruang pemikiran pelajar terhadap bidang STEM (Science, Technology, Engineering and Mathematics) serta meningkatkan minat mereka terhadap aplikasi sains bahan dalam kehidupan sebenar.

Sepanjang program berlangsung, para peserta didedahkan kepada konsep asas berkaitan isu plastik global, biomaterial dan plastik lestari melalui sesi penerangan interaktif yang dikendalikan oleh fasilitator. Pelajar turut diperkenalkan dengan kepentingan penggunaan bahan alternatif yang lebih mesra alam sebagai langkah menyokong pembangunan mampan dan penjagaan alam sekitar.

Kemuncak program adalah melalui pelaksanaan aktiviti hands-on experiment di mana pelajar berpeluang menghasilkan bioplastik mudah menggunakan bahan seperti kanji, air, cuka dan gliserol. Aktiviti ini memberi peluang kepada pelajar melihat sendiri bagaimana konsep sains diaplikasikan secara praktikal dalam menghasilkan bahan lestari sebagai alternatif kepada plastik konvensional.

Para pelajar menunjukkan penglibatan yang sangat aktif sepanjang aktiviti dijalankan. Aktiviti kuiz dan sesi soal jawab turut diadakan bagi menguji kefahaman serta meningkatkan minat mereka terhadap bidang sains dan inovasi bahan.

Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai objektif pendidikan SULAM dengan menghubungkan ilmu yang dipelajari di universiti kepada komuniti sekolah melalui pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan, bermakna dan memberi impak kepada kedua-dua pihak.

Program ini diharapkan dapat terus menyemai minat pelajar terhadap bidang STEM, khususnya dalam bidang sains bahan dan inovasi lestari. Kerjasama erat antara UMPSA dan SMK Gambang juga diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan melalui penganjuran lebih banyak program pendidikan yang memberi manfaat kepada pelajar, sekolah dan komuniti setempat.

Image
— Contact
Faculty of Industrial Sciences and Technology, UMPSA
26300 Gambang
Pahang