Program SULAM “Kenali Nano: Saiz Kecil, Impak Besar” Berjaya Tarik Minat Pelajar SMK Sungai Baging Terhadap STEM
15 Jun 2026 | Kuantan, Pahang
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menerusi kursus BSP4563 Nanomaterials Technology telah berjaya melaksanakan Program Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) bertemakan “Kenali Nano: Saiz Kecil, Impak Besar” di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Baging, Kuantan.
Program yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari ini melibatkan seramai 60 orang pelajar Tingkatan 2 dan Tingkatan 3 yang terpilih sebagai peserta. Program ini turut dijayakan oleh 30 orang pelajar kursus BSP4563 Nanomaterials Technology yang berperanan sebagai fasilitator di bawah bimbingan pensyarah Program Teknologi Bahan, Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), UMPSA.
Program ini bertujuan memperkenalkan konsep asas nanoteknologi serta aplikasinya dalam kehidupan seharian melalui aktiviti pembelajaran yang interaktif, menyeronokkan dan berorientasikan STEM. Penglibatan pelajar universiti dalam program ini turut memberi peluang kepada mereka mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari di dalam bilik kuliah ke dalam persekitaran komuniti sebenar selaras dengan objektif program SULAM.
Program ini diketuai oleh Prof. Madya Ts. Dr. Mohamad Ashry bin Jusoh selaku Pengarah Program dan dibantu oleh Dr. Nurjannah binti Salim sebagai Timbalan Pengarah Program. Turut terlibat sebagai fasilitator ialah Prof. Madya Ts. Dr. Rasidi bin Roslan, Puan Mazni binti Mustafa, Puan Siti Aisah binti Harun dan Puan Nabilah binti Alias, manakala sokongan teknikal diselaraskan oleh Encik Khairul Affendi bin Yusof.
Program ini mendapat kerjasama penuh daripada pihak SMK Sungai Baging yang diketuai oleh Encik Ahmad Zahiruddin bin Md. Isa, Pengetua sekolah. Turut terlibat ialah Encik Mohd Shuami bin Ibrahim, Penolong Kanan Pentadbiran, bersama Hajah Samza binti Muda, Guru Kanan Mata Pelajaran Sains dan Matematik, serta guru-guru Sains sekolah. Kerjasama erat antara pihak UMPSA dan sekolah telah memastikan program berjalan dengan lancar.
Sepanjang program berlangsung, para peserta didedahkan kepada pelbagai konsep sains dan nanoteknologi melalui eksperimen yang direka khas untuk meningkatkan pemahaman mereka terhadap fenomena saintifik yang berkait rapat dengan teknologi nano. Antara aktiviti yang dijalankan ialah eksperimen Kesan Saiz Zarah, yang menunjukkan bagaimana perubahan saiz zarah mempengaruhi sifat sesuatu bahan, serta demonstrasi Kesan Lotus yang menerangkan konsep permukaan superhidrofobik yang mampu menolak air dan membersihkan diri secara semula jadi.
Peserta turut menyertai aktiviti Cecair Tidak Newton, yang membolehkan mereka memerhati perubahan sifat bahan apabila dikenakan tekanan yang berbeza. Aktiviti ini berjaya menarik perhatian pelajar apabila mereka dapat melihat sendiri bagaimana sesuatu bahan boleh bertindak sebagai pepejal dan cecair pada masa yang sama.
Selain itu, pelajar turut didedahkan kepada eksperimen Kesan Saiz Liang yang menerangkan bagaimana saiz liang mempengaruhi proses penapisan, penyerapan dan pergerakan bendalir. Sebagai kemuncak program, para peserta berpeluang menyaksikan demonstrasi ringkas superkonduktor yang memperlihatkan fenomena levitasi magnet dan konsep rintangan elektrik sifar pada suhu yang sangat rendah. Demonstrasi ini mencetuskan keterujaan dalam kalangan peserta kerana mereka dapat melihat aplikasi teknologi canggih yang digunakan dalam bidang penyelidikan dan industri berteknologi tinggi.
Melalui pendekatan pembelajaran secara hands-on dan berasaskan inkuiri, para peserta bukan sahaja memperoleh pengetahuan baharu mengenai nanoteknologi, malah berpeluang mengembangkan kemahiran berfikir secara kritis, menyelesaikan masalah dan membuat pemerhatian saintifik. Aktiviti yang dijalankan turut meningkatkan minat pelajar terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta membuka minda mereka terhadap potensi kerjaya dalam bidang sains dan teknologi.
Program SULAM ini bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti sekolah melalui perkongsian ilmu dan pengalaman, malah menyediakan platform kepada mahasiswa UMPSA untuk mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari dalam situasi sebenar. Penglibatan secara langsung dengan komuniti turut membantu mahasiswa membangunkan kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan, kerja berpasukan dan tanggungjawab sosial.
Pihak sekolah turut merakamkan penghargaan kepada UMPSA atas komitmen dalam melaksanakan program yang mampu menyemai minat pelajar terhadap bidang STEM. Program seperti ini dilihat berpotensi memberi inspirasi kepada generasi muda untuk meneroka bidang sains dan teknologi serta menyumbang kepada pembangunan negara pada masa hadapan.
Secara keseluruhannya, penganjuran program “Kenali Nano: Saiz Kecil, Impak Besar” telah berjaya mencapai objektif yang ditetapkan dan membuktikan komitmen FSTI, UMPSA dalam memperkukuh hubungan antara universiti dan komuniti melalui pendekatan pembelajaran berasaskan perkhidmatan. Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi melahirkan masyarakat yang lebih celik sains, inovatif dan berdaya saing.
