FIST UMPSA

View by Category

Program SULAM "Halal Awareness in SME Community" Mendapat Sambutan Komuniti Kuantan

5 Jun 2026 | Kuantan, Pahang

Seramai 26 orang pelajar yang mengikuti kursus BSB3713 Halal Production dari Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FIST), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), telah menjayakan program Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) yang diadakan di Kolej Komuniti Paya Besar, Gambang, Pahang.

Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai kaedah berkomunikasi dengan komuniti serta mengaplikasikan ilmu yang dipelajari sepanjang satu semester pengajian kepada masyarakat melalui pelaksanaan program SULAM.

Program separuh hari ini bermula pada jam 8.00 pagi dan menghimpunkan seramai 54 orang peserta daripada pelbagai latar belakang. Acara dimulakan dengan sesi ceramah kesedaran halal selama satu jam yang disampaikan oleh pensyarah kursus, Dr. Aishah binti Mohd Marsin, yang memfokuskan kepada prinsip-prinsip utama kesedaran halal. Program ini turut melibatkan dua orang staf FIST iaitu Dr. Mohd Azwan bin Jenol dan ChM. Dr. Nazikussabah binti Zaharudin.

Selepas rehat ringkas, program diteruskan dengan sesi interaktif Latihan Dalam Kumpulan (LDK). Para peserta dibahagikan kepada tujuh kumpulan dan setiap kumpulan dibimbing oleh tiga hingga empat orang pelajar UMPSA yang bertindak sebagai fasilitator. Dengan menggunakan poster khas yang menerangkan aliran permohonan sijil halal yang disediakan di bawah seliaan pensyarah, para fasilitator mengendalikan sesi perkongsian dan perbincangan yang aktif. Sesi ini membolehkan peserta meneroka aplikasi praktikal standard halal dalam suasana yang kolaboratif dan interaktif.

Majlis penutupan telah bermula pada jam 12.00 tengah hari dan dirasmikan oleh Puan Shuhaila binti Ibrahim, Pengarah Kolej Komuniti Paya Besar. Majlis turut diserikan dengan sesi rumusan oleh Pengarah Program, Dr. Aishah binti Mohd Marsin, diikuti dengan penyampaian sijil penyertaan dan cenderamata.

Inisiatif ini bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti dalam meningkatkan pengetahuan mengenai halal, malah memberikan pengalaman dunia sebenar yang amat berharga kepada para pelajar untuk menghubungkan ilmu yang dipelajari di dalam kelas dengan tanggungjawab sosial dalam masyarakat. Aktiviti SULAM seperti ini memainkan peranan penting dalam melahirkan graduan holistik yang mampu menyumbang kepada pembangunan komuniti secara berkesan dan bermakna.

Image
— Contact
Faculty of Industrial Sciences and Technology, UMPSA
26300 Gambang
Pahang