Lawatan Akademik ke Balai Bomba Taman Tas Tingkat Kefahaman Pelajar dalam Keselamatan Kebakaran
11 Mei 2026 | Kuantan, Pahang
Seramai 30 orang pelajar kursus DRO2533/BPS2373 Fire and Building Safety daripada Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FIST), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menyertai lawatan akademik ke Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas pada 11 Mei 2026 bermula jam 9.00 pagi hingga 1.00 tengah hari.
Program ini diselaraskan oleh Profesor Madya Dr. Mohd Fadzil bin Mohd Idris dan Cik Zarifah binti Shahri bersama pihak bomba yang diketuai oleh Tuan Mohd Fais Aminrul bin Mangsor serta beberapa anggota lain.
Sepanjang lawatan, pelajar mengikuti beberapa sesi pembelajaran dan demonstrasi berkaitan operasi kebombaan serta keselamatan kebakaran. Pelajar didedahkan kepada fungsi bilik kawalan operasi bomba termasuk proses penerimaan panggilan kecemasan, pengurusan maklumat dan koordinasi operasi kecemasan. Pendedahan ini membantu pelajar memahami kepentingan tindak balas awal yang sistematik dalam mengendalikan sesuatu insiden kebakaran.
Selain itu, pelajar turut diperkenalkan dengan pelbagai peralatan dan kelengkapan di dalam jentera bomba serta fungsi penggunaannya semasa operasi menyelamat dan pemadaman kebakaran. Aktiviti kawat hos yang dijalankan memberi peluang kepada pelajar mempraktikkan teknik membentang dan menggulung hos bomba dengan betul, sekali gus meningkatkan kemahiran praktikal serta semangat kerja berpasukan.
Lawatan ini turut memberi pendedahan kepada sistem dan peralatan Rapid Intervention Motorcycle (RIM) yang digunakan bagi mempercepatkan tindakan awal kecemasan terutama di kawasan yang sukar diakses oleh jentera besar. Pelajar juga berpeluang mempraktikkan teknik pemadaman kebakaran menggunakan alat pemadam api secara terkawal di bawah pemantauan anggota bomba.
Secara keseluruhannya, lawatan akademik ini berjaya meningkatkan kefahaman pelajar terhadap aplikasi sebenar keselamatan kebakaran, prosedur tindakan kecemasan dan pengendalian peralatan kebombaan. Program seperti ini bukan sahaja mengukuhkan pembelajaran teori di dalam kelas, malah turut meningkatkan keyakinan diri, kemahiran praktikal dan kesiapsiagaan pelajar sebagai persediaan menghadapi alam pekerjaan dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Disediakan oleh:
Zarifah Shahri
(Penyelaras Kursus DRO2533)
