Pelajar Program Ijazah Dual UMPSA–KazNARU Diraikan dalam Open Day di Kazakhstan
6 November 2026 | Almaty, Kazakhstan
Seramai 12 pelajar Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang sedang mengikuti Program Ijazah Dual UMPSA–Kazakh National Agrarian Research University (KazNARU) telah diraikan dalam program Open Day KazNARU di Almaty, Kazakhstan.
Program tersebut turut melibatkan pelajar KazNARU serta barisan pensyarah dan pengurusan Faculty of Veterinary and Zooengineering, sekali gus menyediakan platform interaksi dan mengeratkan hubungan antara pelajar serta warga akademik kedua-dua institusi.
Pelbagai aktiviti telah diadakan sepanjang program, termasuk sajian makanan, persembahan kebudayaan dan aktiviti yang mengetengahkan kepelbagaian budaya dalam komuniti antarabangsa di KazNARU.
Penyertaan ini memberikan peluang kepada pelajar FSTI untuk mengenali budaya tempatan, membina hubungan dengan komuniti universiti serta memperkenalkan Malaysia dan UMPSA kepada warga KazNARU.
Pengalaman tersebut diharapkan dapat memperkayakan pembelajaran dan perkembangan diri pelajar, di samping menggalakkan mereka memanfaatkan peluang pengajian antarabangsa untuk mencapai kecemerlangan akademik.
