FSTI UMPSA Kongsi Kepakaran dalam Pengurusan Risiko Pengurusan dan Kawalan Bahan Kimia di Makmal Sekolah kepada Pembantu Makmal
4–5 Jun 2026 | Kuantan, Pahang
Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh peranan dalam pemindahan ilmu dan khidmat komuniti apabila beberapa pensyarah dan pegawai sains fakulti dijemput sebagai penceramah bagi Kursus Pengurusan Risiko dan Kawalan Bahan Kimia di Makmal Sekolah anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuantan dengan kerjasama Kesatuan Sekerja Kakitangan Makmal (KSKM) Daerah Kuantan.
Program ini telah berlangsung selama dua hari melibatkan lawatan dan penilaian pengurusan keselamatan bahan kimia di 3 buah institusi pendidikan iaitu Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kuantan (INTEK), Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib (SMART) Kuantan, dan SMK Sungai Lembing, Kuantan.
Antara wakil FIST UMPSA yang terlibat sebagai penceramah dan pakar penilai adalah:
- Dr. Wan Norlinda Roshana binti Mohd Nawi, Pensyarah Kanan
- Ts. Hairunnisa binti Osman, Pegawai Sains Kanan
- Dr. Nur Syafiqah binti Fauzan, Pensyarah Kanan
- Dr. Mirta Widia, Pensyarah Kanan
- Dr. Junaidah binti Zakaria, Pensyarah Kanan
Program ini bertujuan meningkatkan tahap kesedaran serta pematuhan terhadap aspek keselamatan makmal, khususnya dalam pengurusan risiko pengurusan dan kawalan bahan kimia di sekolah. Aktiviti yang dijalankan merangkumi sesi taklimat, lawatan tapak ke makmal, penilaian risiko serta sesi perkongsian amalan terbaik untuk keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Penglibatan para akademik dan pegawai sains FSTI dalam program ini mencerminkan komitmen berterusan UMPSA untuk menyumbang kepakaran kepada masyarakat, khususnya dalam memperkukuh budaya keselamatan dan kesihatan pekerjaan di institusi pendidikan. Inisiatif sebegini juga selari dengan aspirasi universiti untuk memperluas jaringan kerjasama strategik dengan agensi kerajaan serta komuniti setempat dalam usaha melahirkan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat dan berkualiti.
Program ini diharapkan dapat membantu pihak sekolah mempertingkatkan pengurusan keselamatan makmal serta memastikan penggunaan bahan kimia dilaksanakan mengikut prosedur dan piawaian keselamatan yang ditetapkan.
Disediakan oleh:
Dr. Mirta Widia
Pensyarah Kanan
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan
Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FIST)
