Tahniah & Syabas! Dr. Ahmad Mahfuz Harumkan Nama FSTI, UMPSA di Diabetes Malaysia Congress 2026
14 Jun 2026 | Kuala Lumpur
Sekalung tahniah diucapkan kepada Dr. Ahmad Mahfuz bin Gazali, Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), atas pencapaian cemerlang apabila dinobatkan sebagai Pembentang Terbaik di Diabetes Malaysia Congress 2026.
Kongres yang berlangsung dari 12 hingga 14 Jun 2026 di Connexion Conference & Event Centre, Bangsar South itu telah menghimpunkan kira-kira 300 peserta profesional yang terdiri daripada doktor pakar, ahli farmasi, kaunselor, pakar pemakanan serta pengamal kesihatan yang aktif dalam bidang diabetes di Malaysia.
Dalam kongres tersebut, Dr. Ahmad Mahfuz telah membentangkan hasil penyelidikannya yang bertajuk:
"Diabetes Associated Autoantibodies and Family History of Diabetes Predict Diabetic Ketoacidosis Among Recent-Onset Malaysian T1DM Patients"
Kualiti penyelidikan yang tinggi serta penyampaian yang berkesan telah melayakkan beliau dipilih sebagai pembentang terbaik, sekali gus mengatasi saingan daripada enam pembentang lain.
Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Profesor Dr. Muhammad Yazid bin Jalaluddin, Presiden Persatuan Diabetes Malaysia, semasa majlis penutup kongres berkenaan.
Seluruh warga FSTI dan UMPSA merakamkan ucapan tahniah atas pencapaian yang membanggakan ini. Semoga pengiktirafan tersebut menjadi pemangkin untuk terus menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi serta menyumbang kepada pembangunan ilmu dan kesejahteraan masyarakat.
Syabas dan tahniah, Dr. Ahmad Mahfuz!
