Program Mobiliti Outbound Berkredit (Blended Mobility) ke Universitas Indonesia Perkukuh Pengantarabangsaan Pelajar BPS
10–17 Mei 2026 | Jakarta, Indonesia
Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah berjaya melaksanakan Program Mobiliti Outbound Berkredit (Blended Mobility) ke Universitas Indonesia (UI) yang melibatkan pelajar Program Sarjana Muda Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dengan Kepujian (BPS).
Program ini merupakan sebahagian daripada Global Occupational Health and Safety (GOHS) Program Siri 6 anjuran Program Keselamatan dan Kesihatan Kerja (K3), Universitas Indonesia.
Program dilaksanakan melalui pendekatan blended mobility yang menggabungkan sesi pembelajaran secara dalam talian dan bersemuka serta menawarkan pengiktirafan sebanyak tiga (3) jam kredit melalui kursus yang disediakan oleh pihak Universitas Indonesia. Seramai 20 orang pelajar telah menyertai program ini hasil sambutan yang amat menggalakkan daripada pelajar BPS.
Sepanjang pelaksanaan program, para pelajar mengikuti sesi pembelajaran bersama ahli akademik dan pengamal industri dari Universitas Indonesia yang memberi pendedahan menyeluruh dalam bidang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH/K3) dari perspektif antarabangsa. Pendedahan tersebut merangkumi aspek amalan terbaik, budaya kerja serta perundangan OSH yang diamalkan di Indonesia, sekali gus memperkukuhkan pemahaman pelajar terhadap kepelbagaian pendekatan global dalam bidang tersebut.
Selain pengisian akademik, program ini turut memberi peluang kepada pelajar meningkatkan kemahiran komunikasi antarabangsa, kerja berpasukan, kepimpinan dan kebolehsuaian dalam persekitaran pembelajaran global. Penglibatan secara langsung bersama pelajar dan pensyarah antarabangsa juga berjaya meningkatkan keyakinan diri peserta serta membuka ruang pertukaran ilmu dan pengalaman merentas budaya.
Program ini turut merangkumi lawatan industri ke MRT Jakarta, Indonesia yang memberi peluang kepada pelajar melihat secara langsung pelaksanaan sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di organisasi sebenar. Melalui lawatan tersebut, para peserta dapat memahami aplikasi praktikal pengurusan risiko, pematuhan keselamatan pekerjaan serta budaya keselamatan yang diamalkan di peringkat industri antarabangsa.
Di samping itu, program ini turut diselitkan dengan lawatan budaya di sekitar Jakarta yang memberi nilai tambah dari aspek pengantarabangsaan dan pendedahan budaya kepada para peserta. Aktiviti tersebut secara tidak langsung membantu pelajar memahami kepelbagaian budaya, cara hidup masyarakat setempat serta mengukuhkan kemahiran sosial dan adaptasi dalam persekitaran antarabangsa.
Pelaksanaan program mobiliti ini selaras dengan aspirasi UMPSA dalam memperkukuhkan agenda pengantarabangsaan universiti dan melahirkan graduan holistik yang kompeten, berdaya saing serta mempunyai perspektif global. Program seumpama ini juga menjadi platform penting dalam memperluaskan jaringan kerjasama akademik antara UMPSA dan universiti luar negara melalui pertukaran ilmu, pengalaman dan budaya.
Secara keseluruhannya, pelaksanaan program ini berjaya mencapai objektif yang ditetapkan, khususnya dalam memperkukuhkan pengantarabangsaan pelajar, meningkatkan pengetahuan dalam bidang OSH/K3 serta memperluaskan pengalaman pembelajaran global. Diharapkan program seumpama ini akan terus diperkukuhkan pada masa akan datang bagi mempereratkan lagi jaringan kerjasama strategik antara UMPSA dan Universitas Indonesia dalam bidang akademik, penyelidikan dan mobiliti pelajar selaras dengan usaha memperkasakan pendidikan tinggi bertaraf antarabangsa.
Disediakan oleh:
Nurin Zulaikha binti Zainalariffin
Reashaliniy a/p Mohanasuntheram
Norhafiqah binti Omar
AJK Dokumentasi
Program Mobiliti Outbound Berkredit (Blended Mobility) di Universitas Indonesia (BPS Program)
