FIST UMPSA

News & Events

8 PENYELIDIK FIST PERKASA JALINAN STRATEGIK BERSAMA INDUSTRI

8 PENYELIDIK FIST PERKASA JALINAN STRATEGIK BERSAMA INDUSTRI

8 PENYELIDIK FIST PERKASA JALINAN STRATEGIK BERSAMA INDUSTRI

PEKAN, 10 April 2025 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus mengorak langkah sebagai institusi pengajian tinggi berimpak tinggi menerusi pemeteraian 32 Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) bersama pelbagai syarikat industri dari sektor strategik tempatan dan antarabangsa.Majlis pemeteraian tersebut turut menyaksikan penglibatan aktif lapan penyelidik dari Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FIST), yang mengambil pendekatan proaktif dalam memperkukuh kerjasama bersama rakan industri masing-masing. Jalinan ini dijangka membuka ruang luas kepada pelbagai inisiatif kolaboratif, termasuk dalam bidang penyelidikan bersama, penempatan latihan industri, pemindahan teknologi serta pembangunan modal insan berteraskan keperluan semasa pasaran kerja.

Majlis dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha, yang dalam ucapannya menekankan bahawa hubungan strategik antara akademia dan industri merupakan nadi kepada kemajuan inovasi negara yang mampan dan berdaya saing global.“Sinergi antara kepakaran penyelidik dan keperluan industri bakal melahirkan ekosistem penyelidikan yang lebih mapan dan bermakna, bukan sahaja kepada institusi, malah untuk manfaat masyarakat secara keseluruhannya,” ujar beliau.

Majlis turut diserikan dengan Power House Talk oleh Prof. Dean Lee (Adjunct Professor Lee Heng Yee), Pengarah Eksekutif B-Crobes Laboratory Sdn. Bhd., yang menyampaikan pembentangan bertajuk “AI as a Catalyst for Healthcare Evolution”. Dalam sesi yang penuh inspirasi itu, beliau menghuraikan bagaimana teknologi Kecerdasan Buatan (AI) menjadi pemacu utama dalam mentransformasikan sektor penjagaan kesihatan, serta peranannya dalam mempercepat penyelidikan, mempertingkatkan keberkesanan rawatan dan mewujudkan sistem kesihatan yang lebih bersasar dan mampan.Beliau turut berkongsi pengalaman menerusi program CEO@Faculty sebagai antara usaha untuk merapatkan jurang antara dunia industri dan akademik, seterusnya memperkasakan ekosistem pengajaran dan pembelajaran yang berimpak tinggi.Kemuncak majlis menyaksikan pertukaran dokumen MoU dan MoA yang disempurnakan oleh Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias, sebagai simbolik permulaan kepada kerjasama yang lebih bermakna antara universiti dan industri.

Lapan penyelidik FIST yang memeterai kerjasama strategik tersebut ialah:

Prof. Madya Dr. Aizi Nor Mazila Ramli – DMI Biotech

Prof. Madya Ts. Dr. Hajar Fauzan Ahmad – B-Crobes Laboratory Sdn. Bhd.

Prof. Madya Dr. Hazrulrizawati Abd Hamid – Bodywell Sdn. Bhd.

Nor Hasmaliana Abdul Manas – Kamarizs Medicare Sdn. Bhd.

Dr. Nazikussabah Zaharudin – Damha Mazin Resources

Prof. Dr. Gaanty Pragas Maniam – Wilhelmina Energy Malaysia Sdn. Bhd.

Dr. Mirta Widia – Ninja Logistics Sdn. Bhd. (Ninja Van Malaysia)

Dr. Khairiah Mohd Mokhtar – Zahazu Sdn. Bhd.

 

Menurut Prof. Madya Dr. Aizi Nor Mazila Ramli, selaku Dekan FIST, inisiatif ini merupakan manifestasi komitmen fakulti dalam memperluas keterlibatan industri secara strategik dalam ekosistem pendidikan tinggi.“Kolaborasi seperti ini bukan sahaja memperkasakan kapasiti penyelidik dan pelajar, tetapi juga menjadikan program akademik lebih responsif terhadap kehendak industri masa kini. Ia adalah langkah penting ke arah melahirkan graduan berkemahiran tinggi yang bersedia menyumbang secara efektif di pasaran global,” ujarnya.UMPSA melalui FIST terus komited dalam membina ekosistem pendidikan yang lestari, berorientasikan penyelesaian dan berimpak tinggi kepada industri serta masyarakat secara menyeluruh.

#umpsasharing

#umpsamalaysia

#fistumpsa

#fistumpsagemilang

#jommasukfistumpsa

Image
— Contact
Faculty of Industrial Sciences and Technology, UMPSA
26300 Gambang
Pahang