Lawatan Akademik Kursus BSB3503 – Biomanufacturing ke Fasiliti GMP, UMPSA
Lawatan Akademik Kursus BSB3503 – Biomanufacturing ke Fasiliti GMP, UMPSA
UMPSA 3 dan 12 Jun 2025 - Seramai 16 orang pelajar kursus BSB3503 – Biomanufacturing telah menyertai lawatan akademik ke fasiliti Good Manufacturing Practice (GMP) di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). Lawatan ini bertujuan memberi pendedahan secara langsung kepada pelajar mengenai pelaksanaan Amalan Pengilangan Baik (GMP) serta pemprosesan dalam persekitaran terkawal.
Sepanjang lawatan, pelajar didedahkan kepada konsep asas GMP merangkumi kawalan kebersihan, aliran kerja pemprosesan, dokumentasi, pengendalian bahan mentah, kawalan kualiti, serta pematuhan keperluan keselamatan dan peraturan dalam industri biopemprosesan. Taklimat yang diberikan membantu pelajar mengaitkan teori pembelajaran dengan amalan sebenar di fasiliti berpiawaian industri.
Pelajar juga berpeluang melihat susun atur kemudahan, peralatan GMP, dan amalan operasi standard (SOP) yang diamalkan. Secara keseluruhan, lawatan ini berjaya mengukuhkan kefahaman pelajar terhadap kepentingan GMP serta meningkatkan kesediaan mereka menghadapi alam pekerjaan dalam industri berasaskan biopemprosesan.
