FIST Flavour Artisan Raih Naib Johan Pertandingan Aneka Bubur Peringkat UMPSA 2026
17 Julai 2026 | UMPSA Pekan
Kumpulan FIST Flavour Artisan yang mewakili Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FIST), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berjaya meraih Naib Johan dalam Pertandingan Aneka Bubur Peringkat UMPSA 2026 yang berlangsung di Masjid Al-Jazari, UMPSA Pekan.
Pertandingan yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 11.30 pagi itu menghimpunkan 12 kumpulan mewakili pelbagai Pusat Tanggungjawab (PTJ) di UMPSA bagi mempamerkan kreativiti dalam penyediaan hidangan bubur berasaskan resipi tradisional dan inovatif.
Mewakili FIST, kumpulan yang diketuai oleh ChM. Ts. Dr. Siti Maznah Kabeb bersama lapan orang ahli mempertaruhkan menu istimewa Bubur Keledek Perindu dengan slogan “We Don't Just Cook, We Create”, yang menampilkan keunikan rasa berinspirasikan hidangan tradisional.
Melalui penilaian yang dijalankan oleh barisan juri profesional daripada Ancasa Hotel, Pekan, berdasarkan aspek rasa, kreativiti, persembahan dan kualiti hidangan, Bubur Keledek Perindu berjaya menambat hati para juri sekali gus membolehkan FIST Flavour Artisan dinobatkan sebagai Naib Johan pertandingan.
Kejayaan ini membuktikan bahawa warga FIST bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik dan penyelidikan, malah turut memiliki bakat dalam bidang kulinari serta mampu memupuk semangat kerjasama, kreativiti dan komitmen tinggi dalam setiap aktiviti universiti.
Seluruh warga FIST merakamkan ucapan tahniah kepada FIST Flavour Artisan atas kejayaan yang membanggakan ini. Semoga pencapaian ini menjadi pemangkin untuk terus mengharumkan nama fakulti dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) pada masa hadapan.
