Program OSH UMPSA Perkukuh Kurikulum Melalui Mesyuarat Bersama Panel Penasihat Industri
6 Julai 2026 | UMPSA Gambang
Program Diploma dan Sarjana Muda Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FIST), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah mengadakan mesyuarat bersama Panel Penasihat Industri (Industry Advisory Panel, IAP) secara dalam talian bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas industri terhadap kurikulum serta kaedah penilaian program.
Mesyuarat dipengerusikan oleh Ts. Dr. Hanida Abdul Aziz, Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa), dan dibantu oleh Dr. Mohd Shahril Abu Hanifah, Ketua Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan. Turut hadir ialah Dr. Nur Syafiqah Fauzan, Penyelaras Program Sarjana Muda Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Dr. Nurud Suria Suhaimi, Penyelaras Program Diploma Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, serta barisan pensyarah kedua-dua program.
Bagi Program Diploma Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, panel industri yang hadir ialah Encik Amiruddin Abu Bakar daripada BASF Petronas Chemicals (BPC) Sdn. Bhd. dan Encik Muhamad Syazwan Kamaruzaman daripada AME Construction Sdn. Bhd. Sementara itu, bagi Program Sarjana Muda Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, panel industri terdiri daripada Encik Mohd Shahrizan Mohd Akhir daripada Prasarana Malaysia Berhad dan Encik Khairul Rizal Jamaluddin daripada Flow Tech Services Sdn. Bhd.
Antara agenda utama mesyuarat ialah semakan kaedah penilaian bagi kursus di peringkat diploma dan sarjana muda, termasuk peperiksaan akhir, ujian dan kerja kursus, bagi memastikan kesesuaiannya dengan keperluan serta amalan semasa industri. Mesyuarat turut membincangkan semakan struktur kurikulum dan kandungan kursus agar program yang ditawarkan terus relevan dengan perkembangan teknologi, perubahan perundangan serta keperluan semasa industri keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Hasil perbincangan menunjukkan panel industri menyokong usaha penambahbaikan berterusan terhadap kurikulum program dan mengemukakan pelbagai cadangan bagi memperkukuh kandungan akademik serta meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Penganjuran mesyuarat ini mencerminkan komitmen Program Diploma dan Sarjana Muda Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UMPSA dalam memastikan kurikulum sentiasa responsif terhadap kehendak industri serta mampu melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing dan memenuhi keperluan pasaran pekerjaan.
