FIST UMPSA

View by Category

FSTI Kongsi Kesedaran Keselamatan dan Pengendalian Bahan Kimia di SMK Gudang Rasau

13 Julai 2026 | Kuantan, Pahang

Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) meneruskan komitmennya dalam pemindahan ilmu kepada komuniti melalui penganjuran Ceramah Kesedaran Keselamatan dan Pengendalian Bahan Kimia yang disampaikan oleh ChM. Dr. Wan Norfazilah Wan Ismail di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gudang Rasau.

Ceramah yang berlangsung dari jam 3.00 petang hingga 4.00 petang itu disertai oleh guru-guru Sains dan pembantu makmal sekolah dengan objektif meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan amalan kerja yang selamat semasa mengendalikan bahan kimia di makmal.

Sepanjang sesi, peserta didedahkan kepada aspek pengurusan risiko, kaedah penyimpanan bahan kimia yang betul, penggunaan peralatan perlindungan diri (Personal Protective Equipment, PPE) serta pembacaan label dan Helaian Data Keselamatan (Safety Data Sheet, SDS).

Selain itu, ceramah turut menekankan kepentingan pematuhan terhadap perundangan keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta amalan terbaik dalam pengurusan bahan kimia di institusi pendidikan. Perkongsian ini diharap dapat membantu warga sekolah mengendalikan bahan kimia secara lebih selamat dan sistematik, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan di makmal.

Program diakhiri dengan sesi soal jawab yang mendapat sambutan menggalakkan daripada para peserta. Melalui sesi interaktif tersebut, pelbagai isu berkaitan pengurusan makmal dan keselamatan bahan kimia telah dibincangkan bagi meningkatkan kefahaman peserta terhadap amalan keselamatan yang berkesan.

Menurut ChM. Dr. Wan Norfazilah Wan Ismail, “Keselamatan makmal bukan sekadar mematuhi peraturan bertulis, ia adalah satu bentuk disiplin diri, menghargai nyawa sendiri dan tanggungjawab moral terhadap rakan setugas serta anak didik kita.”

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen FSTI dalam memperkasakan budaya keselamatan melalui perkongsian kepakaran dengan komuniti pendidikan, selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan masyarakat yang lebih peka terhadap aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

– Budaya Kerja Selamat, Bermula Dengan Kita –

Image
— Contact
Faculty of Industrial Sciences and Technology, UMPSA
26300 Gambang
Pahang