FSTI Perkukuh Jaringan Antarabangsa Melalui Lawatan Promosi dan Kerjasama Penyelidikan ke Namangan State Technical University
20 Julai 2026 | Uzbekistan
Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah mengadakan lawatan promosi dan perbincangan akademik ke Namangan State Technical University (NamDTU) bagi meneroka peluang kerjasama strategik dalam bidang akademik, penyelidikan dan konsultansi.
Delegasi NamDTU diketuai oleh Rektor, Profesor Oybek Ergashev bersama Timbalan Rektor, Profesor Ilhom, manakala FSTI diwakili oleh Profesor Madya Dr. Ahmad Salihin Samsudin, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pengajian Siswazah), serta Profesor Madya Ts. Dr. Hajar Fauzan Ahmad.
Sesi perbincangan memberi tumpuan kepada potensi pelaksanaan Program Dual Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD), di samping memperkukuh jaringan penyelidikan bersama antara kedua-dua institusi. Delegasi FSTI turut mengadakan lawatan akademik ke beberapa jabatan di NamDTU bagi meninjau bidang kepakaran, kemudahan makmal dan infrastruktur penyelidikan yang berpotensi untuk dikolaborasikan pada masa hadapan.
Selain memperluaskan kerjasama akademik, lawatan ini turut membuka ruang kepada penerokaan projek penyelidikan bersama, mobiliti pensyarah dan pelajar, penerbitan ilmiah serta pembangunan program yang dapat memberi manfaat kepada kedua-dua institusi.
Dalam lawatan yang sama, delegasi FSTI turut menerima jemputan daripada IFODA, sebuah syarikat multinasional dalam industri baja, bagi mengadakan perbincangan berkaitan peluang kerjasama dalam pelaksanaan projek konsultansi yang melibatkan kepakaran akademik dan penyelidikan universiti.
Lawatan ini mencerminkan komitmen FSTI dalam memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa dengan institusi pengajian tinggi dan rakan industri, sekali gus menyokong agenda pengantarabangsaan UMPSA serta memperluaskan impak penyelidikan, inovasi dan pemindahan ilmu di peringkat global.
