FSTI Perkukuh Kefahaman Staf BASF Petronas Chemicals Melalui Program Latihan Spektroskopi
30 Julai 2026 | Gambang, Pahang
Seramai 12 orang staf daripada Unit Aroma Lab, BASF Petronas Chemicals Sdn. Bhd. telah menyertai Program Latihan Spektroskopi yang dianjurkan oleh Makmal Berpusat, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). Program ini dilaksanakan menerusi dua sesi berturut-turut pada 21 Julai dan 28 Julai 2026 di Bilik Mesyuarat BASF Petronas Chemicals Sdn. Bhd.
Latihan tersebut menampilkan tiga penceramah daripada Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), UMPSA, iaitu Profesor Madya ChM. Dr. Hazrulrizawati Ad Hamid, Profesor Madya ChM. Dr. Nurlin Abu Samah dan ChM. Dr. Siti Maznah Kabeb, yang berkongsi kepakaran dalam teknologi spektroskopi dan aplikasinya dalam analisis kimia.
Sepanjang program, peserta didedahkan kepada prinsip asas analisis spektroskopi, pemprosesan data analitikal terkini serta pengendalian instrumen bagi menyokong aktiviti kawalan kualiti dalam industri. Latihan yang menggabungkan elemen teori dan aplikasi ini bertujuan meningkatkan kefahaman serta kompetensi peserta dalam mengaplikasikan teknik spektroskopi secara lebih berkesan di tempat kerja.
Program ini bukan sahaja berjaya memperkukuh pengetahuan peserta dalam analisis spektroskopi, malah mengeratkan hubungan strategik antara UMPSA dan BASF Petronas Chemicals melalui perkongsian kepakaran akademik yang memenuhi keperluan industri.
Selain latihan teknikal, sesi promosi Program Sarjana Sains Analitik Kimia turut diadakan bagi memperkenalkan peluang melanjutkan pengajian di UMPSA kepada para peserta sebagai sebahagian daripada usaha universiti memperkasa pembelajaran sepanjang hayat dan pembangunan profesional dalam kalangan tenaga kerja industri.
